Rumah terbuka: MB sumbang 15 ekor kambing golek

- Advertisement -

ALOR SETAR: Orang ramai khususnya rakyat Kedah dipersilakan hadir beramai-ramai ke Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar, yang akan diadakan pada 18 April ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, majlis berkenaan akan diadakan di pekarangan kediaman rasminya, Seri Mentaloon, bermula jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang.

“Saya jemput datanglah beramai-ramai, pelbagai juadah disediakan. Malah saya sendiri sumbang 15 ekor kambing golek untuk para hadirin,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Jelasnya lagi, sambutan kali ini dijangka lebih meriah berbanding tahun lalu memandangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, PERIKATAN NASIONAL (PN) menang 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Justeru kata beliau, semua persiapan sama ada menu makanan, khemah dan keluasan tempat juga ditambah untuk menerima pengunjung yang dijangkakan lebih ramai daripada tahun lalu.

“Kita turut mengundang Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah untuk menghiburkan para pengunjung di samping kumpulan nasyid Shoutul Amal. Jadi pakat-pakat mai la ramai-ramai,” katanya.

Dalam pada itu Sanusi juga mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam walau di mana sahaja berada. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -