Allahyarham Jaafar Onn pernah rai anak yatim di Muar

Jasa dan budi baik yang ditinggalkan Allahyarham Jaafar Onn menjadi kenangan dan sentiasa dikenang oleh Ustaz Abdullah Husin.
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Pepatah Melayu ada menyebut, ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’, begitulah juga buat sosok dikenali ramai sebagai Jaafar Onn yang ditakdirkan meninggal dunia dalam bulan Ramadan kali ini.

Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin mengimbau kenangan bersama pelakon veteran, Allahyarham Jaafar Onn yang pernah terlibat dalam suatu program meraikan anak yatim tidak lama dahulu.

- Advertisement -

“Saya masih ingat kenangan bersama Allahyarham Jaafar Onn ketika meraikan anak-anak yatim di Muar Johor beberapa tahun yang lalu.

“Beberapa hari yang lepas pula Almarhum iftar bersama Lajnah Kesenian PAS,: ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada hari ini.

Beliau dalam hantarannya turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang sangat aktif dengan aktiviti kebajikan.

Tambah Abdullah, Allahyarham dikurniakan Allah SWT dengan kematian di bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan kemuliaan.

“Saya mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Johor mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Jaafar Onn.

“Semoga tabah dengan ujian ini. Sama-sama kita doakan semoga Almarhum ditempatkan bersama para solihin,” ujarnya.

Artis veteran itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.32 pagi hari ini (3 April) di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor setelah mengalami serangan jantung ketika melalui prosedur endoskopi.

Difahamkan, jenazah akan diuruskan dahulu di hospital sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarga untuk disemadikan di Tanjung Ganding, Muar, Johor, hari ini. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -