Laporan polis terhadap fitnah HarapanDaily 

Nadzir Helmi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS menyatakan kekecewaan terhadap portal HarapanDaily susulan pelaporan palsu yang dibuat terhadap kenyataan titah ucapan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah sehingga Paduka Baginda mengeluarkan kenyataan media akibat daripada fitnah yang dilakukan portal tersebut.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi berkata, HarapanDaily kerap mengeluarkan kenyataan yang berbaur fitnah dan melagakan terhadap PAS dan PN yang jelas bermatlamat untuk memberi imej buruk kepada parti ini.  

- Advertisement -

“Sehubungan itu, laporan polis akan dibuat terhadap portal HarapanDaily bagi melindungi kesucian institusi istana dan Raja yang telah dijadikan medan taburan fitnah oleh mereka, apatah lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemuda PAS, ujar Nadzir, mengingatkan kepada pemilik dan konco pengendali portal berkenaan bahawa azab Allah SWT amat pedih bagi penabur fitnah dan suka melaga-lagakan. 

Beliau menyatakan, “Ingatlah pesan Nabi Muhammad SAW…Huzaifah RA bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: ‘Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba’ – (Riwayat Muslim).”

Terdahulu, HarakahDaily pada hari ini (31 Mac) melaporkan bahawa Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari sebagai berkata, tindakan perlu diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan laporan HarapanDaily telah menyentuh perkara berkaitan 3R iaitu agama, kaum dan Raja.

Dalam satu kenyataan media sebelum ini (31 Mac) juga, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Dato’ Mohamed Zahari Yahya berkata, Sultan Pahang dukacita dan kecewa dengan laporan berita HarapanDaily berjudul, Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan Pas yang dimuat naik pada tarikh 22 Mac 2024, diklasifikasikan sebagai bersifat fitnah dan boleh memberikan implikasi negatif sehingga mampu mendorong kepada suasana yang tidak harmoni dalam masyarakat.

Mohamed Zahari menyatakan, Paduka Baginda telah menegaskan bahawa titah Baginda ketika sesi Taklimat Pembangunan Daerah Maran di Akademi Tani Chenor, Maran itu tidak seperti apa yang dilaporkan oleh portal berita berkenaan, memandangkan kenyataan Paduka Baginda itu tidak ditujukan kepada mana-mana parti politik dan bersifat secara umum.

“Ia memberi maksud mengingatkan supaya masjid yang merupakan tempat ibadat buat umat Islam sentiasa dipelihara kesuciannya,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, rujukan yang dibuat terhadap HarapanDaily mendapati portal tersebut telah memadamkan berita yang berjudul, Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan Pas itu dari sistemnya, sambil memohon ampun dan maaf di atas kekhilafannya menyiarkan laporan tersebut. – HARAKAHDAILY 31/3/2024

- Advertisement -