HarapanDaily sentuh 3R: PDRM dimohon segera ambil tindakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimohon segera mengambil tindakan tegas ke atas pengendali portal media Harapan Daily berikutan telah menerbitkan laporan yang berunsur fitnah terhadap Sultan Pahang.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan tersebut perlu diambil PDRM berikutan laporan portal tersebut telah menyentuh perkara berkaitan 3R iaitu agama, kaum dan Raja.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mej Jen Dato’ Mohamed Zahari Dato’ Yahya dalam satu kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah dukacita dan kecewa dengan laporan itu.

Menurut beliau, laporan bertarikh 22 Mac itu bersifat fitnah dan boleh memberikan implikasi negatif sehingga mampu mendorong kepada suasana yang tidak harmoni dalam masyarakat.

“Paduka Baginda menegaskan bahawa titah Baginda ketika sesi Taklimat Pembangunan Daerah Maran di Akademi Tani Chenor, Maran itu tidak seperti apa yang dilaporkan oleh portal berita berkenan.

“Kenyataan Paduka Baginda itu tidak ditujukan kepada mana-mana parti politik dan bersifat secara umum. Ianya memberi maksud mengingatkan supaya masjid yang merupakan tempat ibadat buat umat Islam sentiasa dipelihara kesuciannya,” katanya dalam kenyataan itu.

Zahari berkata, Sultan Abdullah turut mengingatkan semua pengamal media supaya meneliti dan memperhalusi setiap berita sebelum membuat interpretasi yang boleh menyimpang atau tersasar dari maksud sebenar.

“Etika kewartawanan perlulah dipatuhi pada setiap masa,” katanya merujuk laporan berita yang disiarkan atas tajuk “Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan PAS”, di mana hasil carian ianya diterbitkan oleh portal media Harapan Daily.

Portal itu dalam siaran tersebut menerbitkan bahawa Al-Sultan Abdullah memberikan amaran kepada rakyat Pahang agar tidak mengamalkan perkara yang disebarkan oleh PAS seperti amalan takfiri dan sembahyang dua imam.

“Penyakit-penyakit lama harus diharamkan. Antaranya seperti sembahyang dua imam, kafir-mengkafir. Saya bagi amaran di sini, mana-mana masjid yang membenar ini terpaksa ambil tanggungjawab.

“Penghulu akan bertanggungjawab, ADUN akan bertanggungjawab dan saya pun akan bertanggungjawab. Kita nak orang Pahang ini, negeri yang aman, sentosa, berharmoni.

“Bila waktu berpolitik, lima tahun sekali awak politiklah tapi masjid kita kena jaga kesucian masjid. Jangan ikut ego kita,” titah baginda sebagaimana dipetik portal itu dari video TikTok yang tular.

Portal tersebut juga menyatakan, fenomena sembahyang dua imam dan takfiri bermula dalam era 1980-an susulan Amanat Hadi dan ia masih berterusan. – HARAKAHDAILY 31/3/2024

- Advertisement -