Tak patuh resolusi PBB: Colombia seru dunia pulaukan Israel

Gustavo Petro. (FOTO: Middle East Eye)
- Advertisement -

BOGOTA: Presiden Colombia, Gustavo Petro menyeru komuniti antarabangsa untuk memulaukan dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel, jika negara haram itu masih enggan mematuhi resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UNSC yang mendesak Israel untuk mengadakan gencatan senjata.

UNSC pada Isnin lalu, telah meluluskan resolusi untuk gencatan senjata segera dilaksanakan di Gaza agar membolehkan umat Islam berpuasa untuk tempoh baki dua minggu lagi pada Ramadan kali ini.

Resolusi itu juga mendesak agar pihak Hamas membebaskan tawanan yang ditahan sejak konflik yang bermula pada 7 Oktober lalu. 

- Advertisement -

“Saya mengajak semua negara di dunia ini untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel jika mereka tidak patuh kepada resolusi ini,” tegas Petro.

Dianggarkan sejumlah 4,000 hingga 5,000 rakyat Colombia menetap di Israel akan terjejas sekiranya hubungan antara dua negara itu diputuskan, lapor Middle East Monitor

Hubungan dua hala Colombia-Israel telah mengalami beberapa siri ketegangan sejak konflik Israel-Hamas terjadi yang mana antara lainnya, Duta Colombia di Israel telah dipanggil balik pada 8 November lalu untuk rundingan dengan Petro. 

Menteri Luar Israel, Israel Katz dalam pada itu menyatakan sokongan Petro terhadap Hamas membawa aib  kepada rakyat Colombia. 

“Sokongan Presiden Colombia terhadap pengganas Hamas adalah memalukan rakyat Colombia. Israel akan terus melindungi rakyat dan tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan dan ancaman,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -