Pelajar Orang Asli masih tercicir dalam pendidikan

Roslan Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menangani isu keciciran anak Orang Asli di Gua Musang walaupun terdapat program khusus bagi memberi kefahaman akan keperluan mereka menghadiri sesi persekolahan.

- Advertisement -

Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berkata, antara faktor yang dikaitkan dengan isu keciciran anak Orang Asli di sekolah adalah jarak sekolah yang terlalu jauh, tidak berminat, sudah bekerja dan berkahwin serta tiada dokumen.

“Seterusnya ramai pelajar-pelajar yang tiada dokumen tetapi mendapat keputusan yang cemerlang, namun tidak dapat melanjutkan pelajaran ke instituti pendidikan tinggi awam (IPTA).

“Apakah usaha kementerian bagi tangani isu ini di mana Kementerian Pendidikan pernah menggunakan permohonan istimewa untuk ke IPTA kepada anak-anak yang tiada dokumen,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, tadi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wang Kah Woh, berkata kementeriannya melaksanakan program Jom Belajar iaitu program khas murid Orang Asli khusus untuk memberikan akses pendidikan asas kepada kanak-kanak orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman dan tidak bersekolah.

“Sejumlah 373 orang kanak-kanak Orang Asli telah berjaya dipujuk dan telah mula bersekolah di 15 buah sekolah di seluruh negara, manakala sekolah modul khas adalah sekolah yang menggabungkan pendidikan rendah dan menengah di bawah satu bumbung.

“Kementerian telah melaksanakan sesi libat urus yang melibatkan 11 negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Pahang, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak bagi mengenal pasti keperluan keluasan program Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) di negeri-negeri tersebut.

“Walau bagaimanapun kita akan meninjau berkenaan dengan hasil daripada sesi libat urus tersebut sebelum keputusan akhir dibuat oleh pihak kementerian,” katanya.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan asal Roslan yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan adakah pihak kementerian telah mengenal pasti kadar keciciran murid terutama dalam kalangan pelajar miskin bandar, luar bandar dan pinggir bandar, kanak-kanak Orang Asli dan tidak berdokumen.

Roslan juga bertanya apakah strategi dan usaha pembaharuan kementerian untuk mengurangkan jurang pendidikan termasuk dari segi kaedah pengajaran dan pembelajaran. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -