PAS anjur rumah terbuka rai TMK 2024

Wan Roslan Wan Hamat
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS Kelantan turut memeriahkan Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024 dengan menganjurkan rumah terbuka pada 9 Syawal ini bertempat di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV.

- Advertisement -

Setiausaha Badan Perhuhubungan PAS negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pelbagai juadah menarik disediakan pada sambutan tersebut bagi memeriahkan TMK 2024.

Antaranya kata beliau nasi arab, satay, gulai kawah, lemang, nasi dagang, murtabak, nasi kukus, nasi beriani, ketupat, ais krim dan pelbagai lagi.

“PAS Kelantan akan menyediakan 20 ekor kambing golek. Turut diadakan pertandingan khemah cantik dan acara membuat teh tarik,” katanya di sini.

Katanya, anak-anak perantau yang pulang ke kampung beraya dengan keluarga dan penduduk tempatan berpeluang untuk menghadiri program tersebut bagi memeriahkan TMK 2024.

Menurutnya orang ramai turut berpeluang mendengar ucapan khas Hari Raya Aidilfitri disampaikan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan Pesuruhjaya PAS Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Turut diundang wakil komponen PERIKATAN NASIONAL, guru-guru pondok, pimpinan masyarakat Cina, India, dan Siam serta agensi kerajaan negeri dan swasta.

“Program tersebut diadakan bagi merapatkan hubungan silaturahim pemimpin PAS dengan masyarakat bagi menyemarakkan lagi agenda memasyarakatkan PAS.

“Selain itu bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong bertandang ke Kelantan sempena TMK 2024,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -