Seruan ‘Munajat Rakyat Terengganu Kembalikan Royalti’

Muhammad Khalil dalam sidang akhbar di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Terengganu pada hari ini, 27 Mac 2024.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan tekad untuk terus berjuang sehingga hak royalti minyak kembali ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan itu akan dilakukan sekiranya Kerajaan Persekutuan tetap enggan menyalurkan bayaran royalti tersebut.

- Advertisement -

“Itu soalan jangkaan kita tidak tahu, yang penting kita berusaha kerana kita bertindak di atas prinsip bahawa royalti kepada negeri Terengganu ini adalah hak negeri ini yang mesti dibayar oleh kerajaan pusat,” katanya.

Menurut beliau, tindakan susulan berhubung isu tersebut akan dilakukan dari semasa ke semasa.

“Ini bermakna kita tidak tutup pintu perbincangan, rundingan terus berlaku daripada pihak menteri besar sendiri dan kita akan terus berusaha sehingga kita dapat balik hak kita ini. Insya-Allah,” tegasnya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri bakal  menganjurkan program Munajat Rakyat Terengganu Kembalikan Royalti yang disertakan dengan solat hajat perdana pada 6 April ini, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

“Munajat itu akan diadakan sebagai satu jalan agar urusan perundingan penyaluran royalti ke negeri ini dipermudahkan. 

“(Minta) Allah SWT membuka hati mereka untuk memudahkan urusan, kerana ini adalah hak kepada rakyat Negeri Terengganu dan kita melihat polimik bayaran royalti ini masih berterusan dan belum menampakkan jalan penyelesaian yang terbaik.

“Maka ini sebagai satu jalan kepada kita. Kita sebagai umat Islam dan berada pada bulan ramadan al-Mubarak mengambil peluang ini untuk kita mengadakan program solat hajat.

“Kita seru (rakyat) Negeri Terengganu untuk bersama-sama memohon kepada Allah mudah-mudahan Allah SWT memudahkan urusan kita, mudah-mudahan Allah SWT membuka pintu hati mereka di luar sana untuk memudahkan urusan supaya royalti ini dapat dikembalikan kepada negeri Terengganu,” jelasnya.

Beliau menyatakan bahawa program berkenaan akan bermula dengan iftar, sebelum diikuti solat tarawih dan solat hajat.

“Insya-Allah, pemimpin negeri terlibat antaranya Menteri Besar (Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) yang akan mengetuai (ucapan pemimpin),” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -