Warkah Cinta Sang Pencipta 

Ustaz Salehuddin muncul dalam program Tazkirah Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) di Kuala Lumpur pada hari ini, 27 Mac 2024, (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan makhluk yang menjadi tamak adalah berpunca apabila  dalam hati yang mempunyai perasaan cinta, rindu dan kasih kepada Allah SWT sehingga Allah SWT menciptakan ‘Warkah Cinta Sang Pencinta’  iaitu kitab suci, al-Quran.

Sempena menyambut peristiwa besar Islam Nuzul al-Quran, pembentangan tajuk yang penuh bermadah daripada Yang Dipertua PAS Gombak, Ustaz Salehuddin Nasir itu berkata, Allah SWT Maha Mengetahui akan ramai hamba-Nya merindui Dia, maka Allah SWT meletakkan satu kaedah komunikasi ‘yang lain daripada lain’ dengan menurunkan al-Quran al-Karim sebagai pengikat rindu antara Pencipta dan hamba-Nya.

- Advertisement -

Beliau membuat kemunculan dalam program Tazkirah Zohor Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) yang diadakan langsung dari pejabat Harakah di sini, pada hari ini, yang juga boleh diikuti melalui Facebook HarakahDaily dan Facebook TV PAS.

Menurut beliau, jika manusia mencintai Allah SWT sama hukumnya mencintai Rasulullah SAW dan mencintai Rasulullah SAW  itulah langkah awal menjejak kasih dengan Allah SWT.

“Sudah menjadi kesepakatan bahawa kitab suci ini adalah syariat yang paling sempurna dan merupakan sendi agama yang penuh dengan sumber hikmah.

“Al-Quran ini cahaya penglihatan dan hujjah untuk menyingkapi pelbagai rahsia. tiada jalan yang selamat menuju Allah melainkan al-Quran” katanya.

Menurutnya lagi, isi al-Quran ini ada teori dan praktikalnya. Jika dari sudut teori, ianya berkaitan berhujah dan berbahas maka untuk praktikalnya adalah penggunaan al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Jadi, untuk mencapai tujuan dan cita-cita manusia, kita perlu bersahabat dengan al-Quran dengan mengambil ucapan daripada mufassirin imam-imam terkemuka mengikut huraian bahagian-bahagian al-Quran.”

Selain itu dikongsikan beliau juga, kata-kata ulama mengenai tiga jalan yang perlu seiringan tindakannya; dan jika tidak tidak seiring ia tidak akan membawa erti. 

“Jalan pertama ialah taat kepada Allah SWT dan taat kepada Rasulullah SAW. 

“Jalan kedua ialah mendirikan solat dan membayar zakat. Yang ketiga, bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa.

“Wajar seseorang makhluk yang telah diciptakan yang memberi segala kelengkapan daripada segi jasad dan rohani, bahkan Allah SWT telah memberikan satu mahkota terbesar iaitu akal yang telah membezakan manusia dengan makhluk lain dan menjadikan manusia terangkat maqam khalifah di atas muka bumi Allah SWT ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -