India miliki 83 daripada 100 bandar, udara tercemar di dunia 

- Advertisement -

NEW DELHI: Sebanyak 83 daripada 100  bandar dengan udara paling tercemar di dunia pada tahun 2023 terletak di India, yang kesemuanya melebihi garis panduan kualiti udara yang dikeluarkan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak sepuluh kali ganda.

Laporan yang dikeluarkan syarikat penganalisis kualiti udara di dunia, IQAir berkata, faktor tersebut menjadikan antara kesemua bandar yang direkodkan itu, 99 daripada 100 adalah di benua Asia, menyaksikan krisis iklim menjadi antara penyumbang terbesar terhadap pencemaran udara yang mengancam kesihatan manusia seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif IQAir, Frank Hammes dalam kenyataannya berkata, “Kita telah melihat bahawa dalam setiap bahagian kehidupan kita ini, pencemaran udara mempunyai kesan dan lazimnya di negara yang mempunyai udara paling tercemar, jangka hayat rakyat berkurang sehingga enam tahun, lapor CNN.

- Advertisement -

“Ia juga boleh membawa kepada penderitaan bertahun-tahun dalam kalangan penduduk, yang sepatutnya boleh dicegah jika kualiti udara lebih baik.”

Laporan Kualiti Udara Dunia Tahunan keenam IQAir itu telah mengenal pasti bandar Begusarai di negeri Bihar, dalam bahagian utara India yang dihuni lebih setengah juta penduduk sebagai bandar paling tercemar di dunia pada 2023.

Ia diikuti bandar-bandar lain di India iaitu Guwahati (di negeri Assam), Mullanpur (di Punjab) dan bandar raya New Delhi – menjadikan India sebagai tuan rumah kepada empat bandar paling tercemar di dunia sepanjang tempoh tersebut.

“Di India sahaja, sebanyak 1.3 bilion rakyat atau bersamaan 96 peratus populasinya hidup dengan kualiti udara tujuh kali lebih tinggi daripada garis panduan WHO,” tambah laporan IQAir.

Namun begitu, di sebalik cabaran besar dihadapi India dengan isu pencemaran udara, ia bagaimanapun menduduki tempat ketiga dalam senarai negara paling tercemar di dunia.

Bangladesh mendahului carta ‘Top 3’ itu, diikuti rapat oleh Pakistan, menunjukkan kepada krisis alam sekitar dan kesihatan awam yang mendesak di Asia Tengah dan Selatan, lapor Health Policy Watch pula.

Tambah laporan itu, kedua-dua rantau tersebut adalah lokasi kepada sepuluh bandar paling tercemar di seluruh dunia 2023, menonjolkan keperluan mendesak untuk strategi komprehensif untuk memerangi pencemaran udara.

Ia selari dengan laporan IQAir yang mengenal pasti Asia Selatan dan Asia Tengah sebagai rantau yang paling teruk tercemar di dunia pada 2023 –  lokasi kepada empat buah negara iaitu Bangladesh, India, Pakistan dan Tajikistan. 

“Buat pertama kalinya, Kanada muncul sebagai negara paling tercemar di benua Amerika Utara dalam laporan tahun 2023, dengan 13 bandar paling tercemar di negara itu menandakan perubahan ketara dalam trend kualiti udara serantau.

“Perkembangan ini menunjukkan sifat meluas cabaran pencemaran udara, merentasi sempadan geografi dan ekonomi.Analisis data yang luas untuk laporan 2023 telah dijalankan menggunakan maklumat daripada lebih 30,000 stesen pemantauan kualiti udara di 7,812 lokasi di 134 negara, wilayah dan wilayah,” jelas laporan IQAir.

Menurut laporan itu lagi, hanya sepuluh negara dan wilayah yang mencatatkan kualiti udara yang sihat iaitu Finland, Estonia, Puerto Rico, Australia, New Zealand, Bermuda,Grenada, Iceland, Mauritius dan French Polynesia. 

Tambah kenyataan iQAir: “Jutaan manusia mati setiap tahun disebabkan pencemaran udara yang berkait rapat dengan isu kesihatan. 

“Pencemaran udara disebabkan minyak fosil telah membunuh kira-kira 5.1 juta manusia di seluruh dunia setiap tahun.”  – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -