Silibus perlu disesuaikan dengan tahap IQ pelajar

Ustaz Hassan Saad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dicadang supaya menyesuaikan silibus pendidikan dengan tahap darjah kecerdasan (IQ) pelajar di sekolah rendah dan sekolah menengah pada masa kini.

Ustaz Hassan Saad (PN-Baling) berkata, ini berikutan gangguan-gangguan dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PnP) kepada para pelajar tersebut.

- Advertisement -

“Ia juga menyebabkan guru-guru terpaksa mempercepatkan silibus yang ditetapkan dan timbulkan gangguan perancangan yang disusun,” ujar beliau.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pendidikan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Wong dalam jawapannya memberitahu, bahawa KPM prihatin terhadap semua pandangan dan juga balasan daripada semua pihak berkepentingan termasuk guru-guru, ibu bapa, murid dan sebagainya.

“KPM apabila mendapat balasan ataupun pandangan sedemikian pihak KPM akan memperhalusi kurikulum sedia ada, dokumen penjajaran KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) semakan 2017 Edisi 3.0 telahpun di dalam usaha KPM.

“Dan dalam perkara itu, kita juga mengambil iktibar bahawa kurikulum yang sedia ada sememangnya adalah untuk penyediaan murid-murid kita pada masa hadapan, dan apa yang perlu adalah latihan berterusan kepada guru-guru yang terbabit.

“Pada masa yang sama, untuk murid-murid yang mungkin tidak mampu untuk mengikut pembelajaran, perhatian khas akan diberikan oleh sekolah kepada murid-murid yang terbabit,” jawab beliau.

Tambahnya, pihak KPM sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa segala kurikulum dan pelaksanaan silibus itu dapat mencapai hasrat dan matlamat asal oleh KPM.

Hassan dalam soalan asalnya meminta dinyatakan hasrat bagi membuat penelitian dan kawalan terhadap silibus mata pelajaran yang mengganggu mata pelajaran akademik sehingga mengganggu perancangan guru untuk melaksanakan PnP. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -