Lebih 50,000 tetamu hadir di Rumah Terbuka PAS Terengganu

Muhammad Khalil sedang melayan tetamu bukan Melayu dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Terengganu di Kuala Nerus, Terengganu pada hari ini, 6 Mei 2024.
- Advertisement -

KUALA NERUS: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Terengganu meriah dengan kehadiran tetamu yang dianggarkan lebih 50,000 orang  di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, hari ini.

Majlis yang bermula jam 10 pagi itu dimeriahkan dengan kehadiran tetamu bukan sahaja daripada ahli PAS, termasuk yang bukan ahli, dan bukan Islam.

Walaupun majlis Rumah Terbuka PAS diadakan pada hari biasa, namun  ia tidak menghalang untuk orang ramai hadir memeriahkan majlis bahkan sambutan kehadiran dilihat amat luar biasa.

Majlis berkonsepkan gerai dengan lebih 20 jenis juadah makanan itu disediakan oleh PAS kawasan dan Dewan di bawah parti berkenaan.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang sebagai pihak badan perhubungan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih khususnya kepada PAS kawasan dan Dewan-dewan yang telah memberi kerjasama dan menyumbang berbagai juadah kepada para pengunjung.

“Alhamdulillah hari ini dengan penuh bangga dan kejayaan kita telah pun berjaya mengadakan majlis rumah terbuka badan perhubungan PAS Negeri Terengganu sebagai acara tahunan yang sememangnya tradisi yang telah dilakukan oleh PAS sejak sekian lama.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua masyarakat yang hadir sama-sama untuk memeriahkan majlis kita pada hari ini yang mana dihadiri bukan sahaja daripada kalangan ahli PAS tapi seluruh lapisan masyarakat termasuk kalangan bukan Islam dan juga bukan melayu.

“Terima kasih, ini merupakan satu kejayaan dan kebanggaan yang telah kita capai,” katanya ketika ditemui selepas majlis, di sini, hari ini.

Sebahagian tetamu sedang menikmati juadah makanan dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Terengganu.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah; ADUN Chukai, Hanafiah Mat; ADUN Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi; ADUN Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi; ADUN Rantau abang, Ustaz Mohd Fadhli; ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim; ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed; ADUN Ajil, Maliaman Kassim; ADUN Ladang, Zuraida Md Noor; ADUN Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor.

Turut hadir ialah Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus; Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP), Senator Balasubramaniam a/l Nachiappan.

Antara hidangan yang disajikan kepada tetamu termasuk nasi minyak, nasi dagang, nasi putih bersama gulai daging, ayam gulai, ketupat sotong, nasi kerabu, laksa, laksam, ketupat, sate, ayam golek, kambing bakar, mee kari, sup utara, kuih-muih, satar, otak-otak, dan air balang.

Sebahagian daripada 50,000 tetamu yang mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Terengganu 2024.

Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada Kumpulan nasyid Seedrain dan Sahabat Akustika.

Sementara pada akhir majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah pertandingan kiosk terbaik Aidilfitri di kalangan penyedia juadah.

Tempat pertama dimenangi oleh kiosk PAS kawasan Kuala Nerus dengan markah tertinggi iaitu 95 sekali gus membawa pulang wang berjumlah RM3,000.

PAS kawasan Besut menyandang tempat kedua dengan perolehan 89 markah membawa pulang wang berjumlah RM2,000; manakala tempat ketiga dimenangi oleh kiosk kawasan Kemaman dengan hadiah RM1,000. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

- Advertisement -