Israel bakal serang Hamas: 100,000 dipindahkan dari Rafah

Orang ramai mula berpindah dari bahagian timur Rafah, di Semenanjung Gaza selepas tentera Israel mula memindahkan orang awam Palestin menjelang ancaman serangan ke atas Hamas di bandar selatan Gaza itu pada 6 Mei 2024. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

RAFAH: Israel mengarahkan orang awam untuk mengosongkan Rafah pada hari ini, Isnin (6 Mei) dalam apa yang kelihatan sebagai persediaan untuk serangan ke atas kumpulan Hamas di bandar selatan Semenanjung Gaza, lokasi di mana lebih sejuta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal telah berlindung.

Jurucakap Angkatan Tentera Israel (IDF) berkata, kira-kira 100,000 penduduk sedang dipindahkan dari Rafah.

- Advertisement -

Diarahkan melalui mesej teks Arab, panggilan telefon, dan risalah untuk berpindah ke lokasi apa yang disebut oleh tentera Israel sebagai ‘zon kemanusiaan yang diperluaskan’ sejauh 20 kilometer, beberapa keluarga Palestin dilihat terkial-kial berpindah dalam keadaan cuaca  hujan musim bunga yang sejuk, lapor saksi kepada Reuters.

IDF berkata ia telah mula menggalakkan penduduk Rafah untuk berpindah dalam operasi yang dikenali sebagai ‘skop terhad’; namun ia  tidak memberikan alasan khusus, dan tidak juga menyatakan jika sebarang tindakan yang boleh menganggu gugat keselamatan orang awam mungkin berlaku.

Tujuh bulan selepas berperang melawan Hamas, Israel kini  telah mengancam untuk melancarkan pencerobohan di Rafah, yang didakwanya telah menampung penempatan beribu-ribu pejuang Hamas dan berpotensi turut menjadi lokasi berpuluh-puluh tawanan warga Israel ditempatkan sejak perang Hamas-Israel meletus pada 7 Oktober 2023.

“Kemenangan adalah mustahil tanpa mengambil alih Rafah,” tegas kenyataan IDF.

Prospek operasi dengan korban yang lebih tinggi membimbangkan kuasa Barat dan negara jiran Mesir, yang cuba menjadi pengantara pusingan baharu rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas, menyaksikan Hamas mungkin membebaskan beberapa tawanan.

Perancangan untuk menyerang Rafah sebelum ini dilaporkan telah mencetus kepada percanggahan pendapat antara Israel dan Washington.

Bercakap kepada rakan sejawatannya di Amerika Syarikat, Menteri Pertahanan Israe , Yoav Gallant mengaitkan operasi pada snin dengan kebuntuan dalam diplomasi tidak langsung, yang dipersalahkan oleh Hamas.

“Ketika perbincangan mereka, Gallant membincangkan usaha yang dilakukan untuk mencapai pembebasan tawanan dan menunjukkan bahawa pada peringkat ini, Hamas menolak rangka kerja yang ada,” kata Kementerian Pertahanan Israel dalam satu kenyataan.

“Gallant menekankan bahawa tindakan ketenteraan diperlukan, termasuk di kawasan Rafah, kerana tiada alternatif lain,” tambahnya.

Pada ini Isnin (6 Mei) juga, IDF menyeru rakyat Palestin di bahagian timur Rafah untuk berpindah ke ‘kawasan kemanusiaan’ berdekatan, mengatakan ia akan ‘menggalakkan … pergerakan beransur-ansur orang awam di kawasan tertentu’.

Penyiar Israel, Radio Tentera, berkata pemindahan tertumpu di beberapa daerah pinggir Rafah, yang mana mangsa pemindahan akan diarahkan ke bandar khemah di Khan Younis dan Al Muwassi berdekatan.

Ramai penduduk di Rafah berkata, mereka menerima panggilan telefon untuk mengosongkan rumah mereka di kawasan sasaran, sejajar dengan pengumuman tentera Israel.

Dalam serangan udara semalaman di Rafah semalam (5 Mei), pesawat Israel  telah mengebom 10 rumah buah, membunuh 20 orang dan mencederakan beberapa orang, kata pegawai perubatan Palestin di Gaza.

Tiga askar Israel pula dilaporkan terbunuh semalam dalam serangan roket Hamas dekat Rafah, di persimpangan Kerem Shalom ke Gaza, manakala pegawai kesihatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh oleh tembakan tentera Israel.

Perancangan serangan itu muncul ketika harapan memudar untuk rundingan gencatan senjata yang diadakan di Kaherah, Mesir dengan Hamas mengulangi tuntutannya untuk menamatkan perang sebagai pertukaran untuk membebaskan tawanan, namun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan tegas menolak permintaan Hamas itu.

Perang Hamas-Israel pada 7 Okt 2023 menyaksikan 1,200 warga Israel dan 252 ditawan Hamas, menurut pengiraan Israel; sementara menurut Kementerian Gaza, lebih 34,600 rakyat Palestin telah terbunuh, 29 daripadanya dalam tempoh 24 jam yang lalu, dan lebih 77,000 cedera dalam serangan tentera Israel.

Pada Ahad (5 Mei), seorang pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Israel terus menafikan akses kemanusiaan PBB di Semenanjung Gaza, di mana ketua makanan PBB memberi amaran ‘kebuluran mega’ telah melanda di utara enklaf penempatan 2.3 juta orang awam Palestin di situ. -Agensi – HARAKAHDAILY 6/5/2024

- Advertisement -