Kembalikan sesi persekolahan bermula Januari

Mohd Misbahul Munir Masduki
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perubahan dalam sistem kalendar baharu persekolahan telah mempengaruhi beberapa perkara termasuk bebanan kepada guru dan sebagainya, demikian menurut Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar).

“Jadi apakah langkah strategik pihak kementerian untuk mengurangkan bebanan guru ekoran perubahan kalendar yang akan berlaku nanti,” ujarnya dalam sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian sewaktu mengajukan soalan tambahan kepada soalan asal beliau yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan sama ada berhasrat mengembalikan semula kalendar persekolahan memulakan sesi baru Januari sehingga Disember.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dalam jawapannya kepada pertanyaan itu berkata, perubahan dalam pembukaan sekolah yang dianjakkan ke bulan Mac adalah akibat daripada COVID-19 yang berlaku sebelum ini.

“Apabila kita berbincang berkenaan dengan pengurangan beban guru, sebelum ini saya dan Yang Berhormat Menteri telah pun menjawab secara keseluruhan berkenaan dengan bagaimana kita nak kurangkan beban guru seperti yang diumumkan pada tahun 2023.

“Walau bagaimanapun KPM memang komited untuk memastikan sesi persekolahan dapat dibuka pada bulan Januari 2026,” ujarnya.

Tambah beliau, KPM dalam usaha memastikan selain daripada anjakan ataupun pengembalian sesi persekolahan itu ke bulan Januari, pada masa sama isu-isu seperti takwim SPM, STPM dan penyelarasan kemasukan ke universiti juga akan dapat dilakukan sepenuhnya. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -