Kuala Terengganu perlu inisiatif atasi masalah banjir

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diminta melaksanakan inisiatif mengatasi banjir yang sering melanda Kuala Terengganu pada musim tengkujuh.

Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata, bukan sahaja kerosakan harta benda serta aktiviti harian penduduk terjejas, malah ratusan mangsa terpaksa dipindahkan selain sekolah ditutup akibat bencana tersebut.

- Advertisement -

“Saya pantun sedikit, bulat air kerana pembentung, bulat ummah kerana muafakat, saya harap soalan saya pagi ini ada untung, minta menteri jawab soalan nombor empat,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam jawapan beliau memaklumkan pihak kementerian melalui agensinya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan dua pendekatan, struktur dan bukan struktur.

Pada tahun 2024, pihaknya melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merancang untuk menyelenggara lima buah kolam dengan anggaran kos sebanyak RM240,000 bagi mengatasi masalah itu di bawah pendekatan struktur.

Sementara pendekatan bukan struktur kata Ahli Parlimen Johor Bharu itu lagi, JPS telah menyiapkan kajian Pelan Induk Kajian Mesra Alam (PISMA) yang membabitkan Kuala Terengganu dan Kuala Negeri pada tahun 2019.

Beliau berkata lagi, JPS akan melaksanakan tiga projek penting bagi mengurangkan risiko banjir termasuk pada tahun ini sebanyak RM200,000 diperuntukkan di bawah program pemuliharaan sungai dalam Parlimen Kuala Terengganu.

“Bagi mengurangkan risiko banjir kilat dan mengawal pencemaran akibat pembangunan, JPS juga sedang membangunkan kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Terengganu yang dijangka siap pada tahun 2025.

“Selain itu projek Pemuliharaan Muara Sungai Ibai Kuala Terengganu sedang dalam pelaksanaan bermula 24 Julai 2023 dan dijangka siap pada November 2025 dengan nilai RM24 juta dan RM6.7 juta bagi kerja pengalian sungai,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -