Anwar tak pernah dikenakan tindakan di bawah AUKU

Dato' Sri Saifuddin Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PH-Tambun) satu-satu wakil rakyat yang tidak pernah dikenakan peraturan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ketika mengetuai kepimpinan mahasiswa di Universiti Malaya (UM) dahulu.

Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mendedahkan perkara itu ketika menyertai perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata cadangan untuk memperuntukkan kuasa Lembaga Pengarah Universiti untuk mengawal keahlian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menarik perhatian sebahagian besar ahli parlimen yang pernah menjadi mangsa kezaliman akta tersebut.

“Ada Ahli Yang Berhormat kat sini senyum dekat saya sebab dia pun pernah jadi mangsa akta ini dahulu, saya pun pernah jadi mangsa, Tumpat pun pernah jadi mangsa, Tambun dia tidak jadi mangsa di universiti, dia mangsa di luar universiti.

“Yang masa itu Tambun merupakan pelajar universiti contohnya (terlibat) dalam Demonstrasi Baling, tetapi itu saya lari sedikitlah kerana ‘appreciate’ (penghargaan) kepada bekas pimpinan mahasiswa yang duduk di sini,” katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang itu menjelaskan cadangannya untuk membatalkan Fasal (4)A dalam RUU tersebut kerana Lembaga Pengarah Universiti diberi kuasa tidak terkawal untuk mengurang dan melanjut keahlian MPP.

Beliau berkata, kerajaan hari ini bercakap mengenai kebebasan dan pemikiran mahasiswa tetapi dalam masa sama terus mengongkong golongan tersebut untuk membuat pilihan yang tepat menerusi pelaksanaan akta tersebut.

“Fasal (4)A ini bertujuan untuk memasukkan subseksyen baharu menyatakan kuasa Lembaga Pengarah Universiti untuk mengurangkan atau melanjutkan tempoh keahlian dalam majlis perwakilan dan pemegang jawatannya.

“Soal kelompangan yang disebut oleh Menteri itu boleh diisi jawatankuasa ‘interim’ mahasiswa, kata hendak memperkasa mahasiswa, tetapi masih lagi hendak mengawal dan ini boleh disalahgunakan mungkin MPP dia suka dilanjutkan, tidak suka dia pendekkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -