Lantik mahasiswa dalam lembaga tatatertib

Dr Ustaz Abd Ghani Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Universiti tidak mempunyai kewangan yang cukup dan kuasa autonomi untuk mencari kewangan sendiri, malah ia tidak mampu membiayai perbelanjaan aktiviti persatuan mahasiswa.

Dr Ustaz Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, dalam menguruskan akaun kewangan, dicadangkan agar Bendahari Universiti dimasukkan sebagai pihak berkuasa menandatangani cek bagi akaun yang dibuka.

- Advertisement -

Manakala, beliau turut menyarankan supaya kalangan mahasiswa dilantik sebagai pengerusi dan setiausaha.

“Perkara ini bukanlah untuk mengongkong mahasiswa tetapi adalah untuk memastikan proses pengeluaran wang dilakukan secara telus bagi tujuan yang wajar dan tidak disalah gunakan.

“Namun, sekiranya dilantik bendahari persatuan dalam kalangan mahasiswa ia boleh terdedah kepada penyalahgunaan wang atau berlaku kecurian wang sama ada sengaja atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam membahaskan Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan supaya dimasukan wakil mahasiswa sebagai salah seorang jawatankuasa tatatertib pelajar yang boleh melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Penyertaan wakil mahasiswa juga membolehkan permasalahan dalam kalangan mahasiswa dapat ditangani dengan betul, adil dan tidak berat sebelah. Mahasiswa lebih memahami situasi tertentu yang melibatkan diri mereka berbanding pihak lain.

“Namun, jika diletakan pegawai kanan universiti sahaja, isu tatatertib tidak difahami dengan baik dan kemungkinan berlaku pilih kasih dan balas dendam akibat perbezaan atau kecenderungan politik antara pihak lembaga tatatertib dengan pihak mahasiswa yang disiasat dan ini boleh menjejaskan masa depan mahasiswa itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -