Syor proses NR-REE dalam negara, tidak dieksport

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) wajar diproses dalam negara dan tidak dieksport atas sifatnya yang bernilai tinggi, demikian syor Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian).

Menurut beliau, polisi kerajaan untuk tidak mengeksport NR-REE adalah satu tindakan yang sangat tepat kerana persaingan bagi permintaannya sangat tinggi menjadikan ia terdedah kepada kecurian dan penyeludupan.

- Advertisement -

“Soalan saya ialah apakah mekanisme yang boleh dibuat oleh pihak kerajaan bagi membantu negeri-negeri yang punyai stok NR-REE yang banyak?

“Sama ada kerajaan bantu dari segi teknologi ataupun perkara-perkara lain terutamanya dalam penyediaan tapak memprosesan,” ujarnya dalam Sidang Parlimen.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS menyatakan perkara ini semasa memberikan soalan tambahan pada sesi Soal Jawab Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Ibrahim dalam masa yang sama turut bertanya berkaitan tindakan Lynas yang telah membuka dua lagi cawangan syarikatnya iaitu di Amerika Syarikat dan Australia.

“Apakah pihak kerajaan tidak bercadang untuk membantu supaya Lynas juga turut membuka kilang memproses NR-REE ini di negeri yang tertentu. Supaya kita boleh menyekat kadar kecurian dan penyeludupan REE ini keluar daripada negara kita?” soalnya.

Beliau bangun mengemukakan soalan tambahan daripada soalan asal Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) kepada Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam berkenaan status larangan eksport nadir bumi.

Chuan How dalam soalan asalnha menyatakan pada ketika berlakunya peralihan teknologi bagi pemprosesan dan industri hilirannya dibangunkan, sebagai suatu langkah untuk memanfaatkan kadar Ringgit yang optimum untuk eksport tersebut.

Dalam jawapan kepada soalan Tuan Ibrahim tersebut, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kementerian sememangnya mahu bekerjasama dengan pihak kerajaan kerajaan negeri bagi tuiuan tersebut.

“Sebab itu kita merasakan kalau kita ada dasar yang mengharapkan hanya pasaran tanpa ada satu perancangan yang khusus di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, kita mungkin tidak akan berjaya dalam hal ini.

“Kerana ia satu bidang yang sangat kritikal dan juga satu bidang yang teknologi dia akan terhad bukan banyak negara yang ada,” ujarnya.

Tambahnya, tidak mungkin semua negeri yang mempunyai sumber itu dapat menjadi pelombong dan dalam masa sama memprosesnya kerana ia memerlukan modal sangat besar.

Berhubung dengan tindakan Lynas membuka loji baharu di Amerika Syarikat dan Australia, Menteri menjawab bahawa ia berlaku kerana syarikat itu memproses bijih yang berbeza.

“Lynas kini telah pun mewujudkan (loji berbeza) sebab Lynas sekarang memproses bijih daripada Australia dan jenis bijihnya berbeza dengan apa yang ada di negara kita.

“Jadi mereka sudah pun membuka satu lagi line di dalam kilang mereka di Pahang itu untuk memproses bijih yang datang daripada Malaysia yang sesuai dengan bijih ada di negara kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/3/2024

- Advertisement -