Pesawat United Airlines bawa 249 penumpang, tercabut tayar

- Advertisement -

SAN FRANCISCO: Isu keselamatan dan kualiti yang dialami oleh syarikat industri penerbangan Boeing masih belum reda apabila berlaku insiden terbaharu, menyaksikan mana sebiji tayar dari pesawat United Airlines dilaporkan tercabut beberapa saat selepas berlepas.

Pesawat model 777-200 itu dijadualkan terbang ke Osaka, Jepun dari San Francisco pada jam 11.35 minit pagi, waktu tempatan, dengan membawa penumpang seramai 249 orang.  

- Advertisement -

Walaubagaimanapun, menerusi satu video yang diperoleh dari RadarBox jelas menunjukkan sebiji tayar dari kapal itu telah tertanggal sejurus selepas berlepas dari landasan, lapor Reuters.

Tayar yang terjatuh itu kemudiannya melantun dan telah menghentam beberapa biji kereta yang terdapat di ruangan tempat letak kenderaan kakitangan di lapangan terbang berkenaan dan menyebabkan berlakunya kerosakan. 

“Pesawat 777-200 mempunyai enam roda di setiap gear pendaratannya. Ianya direka untuk mendarat dengan selamat walaupun terdapat tayar yang rosak atau hilang,” ujar United Airlines menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan. 

Menyedari akan insiden berkenaan, pesawat itu kemudiannya dilencongkan dan selamat mendarat di lapangan terbang Los Angeles yang kemudiannya dibantu oleh pihak bomba. 

Kesemua penumpang yang terlibat akan diberikan tiket penerbangan yang baharu dan dijadualkan berlepas pada malam hari yang sama, sementara pihak United Airlines dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menyiasat insiden berkenaan. 

Boeing ketika ini mendapat kecaman mengenai kualiti pesawatnya di mana sebelum ini, pintu pesawat Boeing 787 Max telah tercabut ketika sedang terbang di udara. Tiada kecederaan berlaku namun operasi kesemua pesawat tersebut telah digantung selama 19 hari. –HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -