Biojisim kelapa sawit: Manfaat sangat banyak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Di samping minyak sawit mentah (CPO) dan minyak isirong sawit (PKO) yang digunakan secara meluas dalam industri pemakanan dan kosmetik, industri sawit juga menghasilkan biojisim.

Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berkata, ia boleh dihasilkan dalam kuantiti sangat besar iaitu 58 juta tan setahun atau 70 ke 80 peratus daripada jumlah tandan buah segar (TBS) yang diproses.

- Advertisement -

“Bukan hanya boleh digunakan sebagai makanan haiwan ruminan dan unggas, tetapi boleh juga digunakan bagi menghasilkan tenaga diperbaharui (RE) seperti ‘POME’, ‘fibres’, ’empty bunch’ dan ‘kernel shell’.

“PKC, PKE dan ‘dicanter cake’ boleh digunakan sebagai alternatif kepada jagung bijirin menjadi makanan haiwan dan ungas ternakan yang melibatkan biaya sebesar RM4.5 bilion daripada import jagung bijirin,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka itu berkata demikian semasa berucap pada Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini petang semalam.

Sementara itu, kata beliau,.’POME’, ‘kernel shell’, ‘fibre’ dan EFB boleh menjadi sumber lestari menjana RE bagi mengurangkan penggunaan arang batu yang diimport di mana harganya semakin mahal dan menggunakan bahan api fosil.

“Tidak dinafikan dalam keadaan Ringgit yang lemah, mengeksport biojisim keluar menguntungkan tetapi perlu diimbangkan dengan keperluan boleh guna dalam negara yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negara.

“Kerajaan bersama pemain utama industri perlu bekerjasama mengambil langkah memaksimakan penggunaan biojisim ini demi kepentingan bersama iaitu kerajaan, pemain Industri dan rakyat secara menang-menang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/3/2024

- Advertisement -