Kemerosotan sawit: Tangga Batu kemuka solusi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu pokok sawit tua dikenal pasti sebagai salah satu punca purata pengeluaran tandan buah segar (TBS) berkadar malar sekitar 15 tan per-hektar sahaja semenjak tahun 2021 hingga 2023.

Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berkata, kadar tersebut adalah jauh di bawah potensi sebenar iaitu sekitar 18 ke 19 tan per-hektar yang pernah dicapai oleh industri itu sebelum ini.

“Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MPOA (Persatuan Minyak Sawit Malaysia) pada 2 Oktober 2023, terdapat seluas 660,000 hektar atau 11.1 peratus pokok sawit yang berumur lebih dari 25 tahun dan tidak produktif.

- Advertisement -

“Menjelang 2027, jumlah kawasan sawit tua akan meningkat kepada 770,000 hektar sekiranya kadar penanaman semula berterusan pada kadar kurang dua peratus daripada jumlah kawasan tanaman setahun,” ujarnya.

Tambah beliau, menjelang 2027 juga, terdapat hampir dua juta hektar, iaitu mewakili 33 peratus daripada jumlah kawasan yang ditanam kelapa sawit akan mencapai umur melebihi 20 tahun.

“Sekiranya Kerajaan tidak mengambil langkah drastik dan berani, kerugian berterusan ini bukan sahaja dialami oleh pengusaha kelapa sawit, tetapi turut memberi kesan kepada pendapatan negara secara langsung,” kata beliau.

Jelas Bakri, perkara tersebut menjadi satu kebimbangan yang perlu diberi diberikan perhatian serius oleh kerajaan agar industri itu tidak menerima nasib sama seperti dialami oleh industri getah negara.

“Masalah ini berpunca daripada, pertama, jumlah pokok tua yang rendah hasilnya semakin bertambah. Kedua, ketidakstabilan jumlah tenaga kerja, kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing terutama kerja-kerja penuai buah sawit.

“Ketiga, kos pengeluaran yang terus meningkat disebabkan kenaikan upah dan bahan-bahan pertanian seperti racun, baja dan lain-lainya sehingga perbezaan antara harga jualan dan kos pengeluaran sangat tipis terutama bagi pekebun kecil,” kata beliau.

Sementara punca keempat pula katanya, kos penanaman semula dan pemeliharaan hingga matang yang tinggi melebihi RM24,000 sehektar mengakibatkan berlaku penangguhan penanaman semula.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka berkata demikian semasa berucap pada Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini petang semalam.

Bakri juga dalam ucapannya itu mencadangkan empat solusi tuntas bagi mengatasi masalah tersebut iaitu yang pertama kerajaan perlu sama ada menaikkan nilai ambang atau menurunkan kadar windfall levy.

“Bagi Sabah dan Sarawak kadar 3 peratus (masa kini) sangat membebankan kerana di Sabah dan Sarawak pengusaha sawit juga turut membayar cukai jualan minyak sawit pada kadar 7.5 peratus di Sabah dan 5 peratus di Sarawak,” ujarnya.

Beliau juga menambah, dengan menaikkan nilai ambang atau menurunkan kadar windfall levy ia akan meningkatkan margin keuntungan industri dan menambah dana mereka, sekali gus mempercepat program penanaman semula.

Solusi kedua katanya, kerajaan perlu memperkenalkan insentif penanaman semula sama ada menggunakan kembali kutipan daripada windfall levi untuk industri mempercepatkan proses penanaman semula.

“Ketiga, mekanisme cukai seperti memasukkan biaya penanaman semula sebagai elaun pelaburan semula.

“Walaupun ianya sedikit menjejaskan pendapatan percukaian negara tetapi untuk jangka panjang amat menguntungkan agar dapat mempercepatkan proses penanaman semula,” cadangnya. HARAKAHDAILY 7/2/2024

- Advertisement -