Dasar luar negeri Kerajaan Madani cacamerba?

- Advertisement -

Pada 15 Februari lalu tular berita mengenai tiga sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Malaysia yang terlibat dengan Ops Ihsan yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Gaza disenaraikan dalam Terrorist Screening Centre atau Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Ops Ihsan merupakan inisiatif penyaluran bantuan ke Gaza yang dilancarkan oleh Kementerian Luar Negeri (KLN) bersama 45 buah NGO seperti ABIM, Global Peace Mission Malaysia, Mercy Malaysia, Aman Palestin, Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Cinta Gaza Malaysia dan juga Malaysian Relief Agency (MRA).

- Advertisement -

Kementerian Dalam Negeri (KDN), melalui Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kemudiannya mengumumkan bahawa semakan polis menunjukkan tiada rekod tiga sukarelawan ini terlibat dengan isu keganasan malah semakan ke atas 359 individu yang menyertai Ops Ihsan menunjukkan tiada yang terlibat dengan aktiviti keganasan.

Walaupun setelah KDN membuat penafian tetapi pendedahan ini tetap menjadi satu tamparan yang memalukan kepada KLN khasnya selaku koordinator yang mengenal pasti, mengatur, mengumpul dan menghantar bantuan dengan bantuan awal peringkat pertama sumbangan ke Gaza telah diterbangkan ke Kaherah pada malam 3 November 2023.

Kita tidak mahu dasar luar negeri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani nampak sangat cacamerba sehingga dalam keghairahan mahu dilihat terpaling memperjuangkan Islam namun menyebabkan ada elemen yang boleh dilabelkan sebagai pengganas oleh FBI sehingga berpotensi menjejaskan hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

AS adalah rakan dagangan utama Malaysia, oleh itu Malaysia perlu lebih berhati-hati supaya ekonomi kita tidak terjejas dek kerana perbuatan sesetengah pihak yang berpotensi menggugat hubungan baik kedua-dua negara selama ini, khususnya yang berkait dengan ancaman keganasan yang berpunca daripada kelalaian Kerajaan Madani membuat pemantauan.

Akhir tahun lalu, media antarabangsa melaporkan mengenai produk elektronik, termasuk panel solar dan mikrocip, dari Malaysia dilarang atau dikenakan pemeriksaan sebelum boleh memasuki pasaran AS kerana produk-produk ini disyaki mengandungi komponen yang dihasilkan melalui amalan buruh paksa warganegara Uyghur di Xinjiang, China.

Menurut Jabatan Perdagangan AS, di bawah undang-undang AS, mereka mempunyai kuasa untuk menyiasat jika terdapat bukti awal menunjukkan bahawa barangan yang memasuki AS dihasilkan menggunakan proses yang disyaki melanggar peraturan AS, khususnya sejak Akta Anti-Buruh Paksa untuk Orang Uyghur diperkenalkan pada pertengahan Jun 2022.

Dalam masa yang sama, ada NGO tertentu di Malaysia yang membawa persepsi bahawa mereka menyokong keganasan. Pada Januari lalu, ABIM Press dengan bantuan Global Peace Mission Malaysia umpamanya menerbitkan satu e-buku percuma bertajuk “Wasiat Shaykh Ṣāliḥ Damollam kepada anaknya Shaykh Muḥammad bin Ṣāliḥ al-Kāshgarī”.

E-buku percuma ini menjulang Shaykh Ṣāliḥ Damollam yang telah pulang ke rahmat Allāh ta‘ālā pada 24 Januari 2018 di Kem Konsentrasi ciptaan Kerajaan China yang didakwa untuk melaksanakan dasar genosid ke atas bangsa Uyghur, di mana beliau dikategorikan sebagai seorang pengganas dan menimbulkan persoalan apakah ABIM menyokong keganasan.

Buku Abdulhakim Idris, seorang Uyghur yang meninggalkan negaranya pada tahun 1986 dan menetap di AS sejak tahun 2009, yang menyebut mengenai individu yang dikategorikan sebagai pengganas, bertajuk “China’s Colonization of the Islamic World & Uyghur Genocide”, diterjemahkan menjadi “Kolonisasi China terhadap Dunia Islam dan Genosida Uyghur”.

Dari 13 ke 19 April 2023, Abdulhakim Idris dibawa oleh ABIM ke Malaysia, dan dibawa berjumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur untuk mengadu mengenai isu Uyghur sedangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kunjungannya ke China sebelum itu telah menyebut bahawa isu Uyghur adalah isu dalaman China.

Tiba masanya untuk KDN khususnya menyiasat dengan lebih teliti latar belakang pemimpin NGO Malaysia dan latar belakang pemimpin NGO antarabangsa yang berkunjung ke Malaysia bagi mengelakkan Malaysia dari dimalukan oleh agensi asing dan menghadapi masalah dengan mana-mana negara lain ekoran keterlibatan mereka dengan elemen keganasan. -HARAKAHDAILY 4/3/2024

(Penulis ialah seorang pemerhati politik tanah air)

- Advertisement -