KUALA KEDAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari, memilih untuk turun padang ke lapangan bertemu golongan asnaf daripada menghimpunkan kesemua mereka dalam satu majlis yang sama.
Menurutnya, beliau lebih selesa majlis sumbangan diadakan dalam skala kecil untuk memudahkan dirinya beramah mesra dengan penerima.
“Hari ini kita himpun 60 penerima dari empat kampung berdekatan dan adakan majlis penyampaian di kampung yang terpilih.
“Namun, selalunya yang uzur, sakit dan tidak mampu untuk datang ke majlis, saya akan terus ke rumah mereka untuk menyampaikan sumbangan, katanya kepada HarakahDaily dalam majlis penyampaian sumbangan di Dewan Kuala Sala, di sini, hari ini.
Majlis tersebut menyaksikan seramai 60 asnaf dari empat buah kampung berdekatan terdiri daripada Kampung Permatang Bongor, Kuala Sala, Sala Kecil dan Alor Serdang menerima sumbangan Beras Sejahtera.
Tambah beliau, dua hari lalu, 60 penerima lain dari Kampung Perlis dan Permatang Ibus telah dihimpunkan dalam satu majlis di Kampung Perlis.
“Penerima sumbangan ini merupakan antara 200 asnaf lain di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundur yang menerima sumbangan sepanjang bulan Mac ini.
“Selain Beras Sejahtera, penerima juga dibekalkan dengan barangan keperluan harian seperti minyak masak, tepung, gula dan lain-lain,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) khususnya Kampung Kuala Sala, selain petugas HalWa yang sama-sama membantu menjayakan majlis pada hari ini.
Dalam pada itu, hadirin juga berpeluang mendengar ceramah Istiqbal Ramadan yang disampaikan oleh ADUN Pantai Merdeka, Ustaz Shahrir Long. – HARAKAHDAILY 27/2/2024