A3I: Rentas ilmu, budaya Perlis, Jepun, Korea Selatan, China

Wan Badariah (tengah) bersama-sama barisan peserta A31 dan pensyarah UniMAP.
- Advertisement -

ARAU: Keindahan dan budaya negeri Perlis berjaya diperkenalkan merentasi sehingga ke negara luar menerusi penganjuran pertukaran ilmu antara universiti berasaskan teknologi kecerdasan pintar (AI).

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, perkongsian ilmu dan budaya merentasi negara ini adalah aset berharga untuk dimanfaatkan pada masa depan.

- Advertisement -

“Saya amat berterima kasih kepada penganjur yang telah memperkenalkan negeri Perlis kepada semua peserta dengan membawa mereka ke tempat-tempat menarik di negeri ini.

“Saya juga berharap sepanjang berada di Perlis ia menjadi satu pengalaman berharga buat semua peserta,” katanya dalam majlis penutup Asia Applied Artificial Intelligence (A3I) Campus Asia Plus Short Mobility Program di Universiti Malaysia Perlis, di sini, pagi tadi.

Program tersebut mengumpulkan pelajar dari empat buah negara iaitu Pukyong National University, Korea Selatan, Universiti Yamanashi, Jepun, Hangzhou Dianzi University, China dan Universiti Malaysia Perlis, Malaysia.

Penganjuran program itu telah bermula sejak 2022 dan pada tahun ini UniMAP menjadi tuan rumah, menyaksikan buat kali pertama ia diadakan secara atas talian susulan pandemik Covid-19, dan kali kedua melibatkan Universiti Yamanashi, Jepun.

Program yang berlangsung selama 10 hari bermula 19 Februari lalu diadakan bagi menyokong dan menyambut baik hasrat kerajaan untuk memajukan lagi industri berasaskan kecerdasan buatan (AI). – HARAKAHDAILY 27/2/2024

- Advertisement -