MELAKA: Pemimpin-pemimpin kerajaan dilihat hanya ghairah untuk mengumumkan pencapaian-pencapaian yang dari segi statistiknya indah tetapi tidak sama dengan realiti yang berlaku di lapangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, ia seperti mana pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa usaha menghapuskan kemiskinan tegar telah mencapai 100 peratus di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Saya tahu ada usaha-usaha yang telah dijalankan, tetapi saya tidak nampak pelaksanaan itu sendiri dibuat dengan baik. Hanya lebih kepada bercakap ataupun mengumumkan satu-satu keputusan.
“Contoh tadi miskin tegar telah sifar di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka. Tetapi realiti adalah masih banyak lagi golongan susah yang berada di Melaka ini juga,” ujarnya.
Bagi beliau, kerajaan seperti tidak begitu serius untuk menoktahkan kemiskinan kerana mereka seolah-olah sekadar melihat ‘keindahan’ pada statistik yang ada sedangkan realiti di lapangan, rakyat masih tetap menderita atau susah.
“Saya sendiri turun ke lapangan, saya melihat masih banyak lagi yang susah. Kalau saya, saya tak menilai orang susah ni berdasarkan pendapatan yang mereka. Orang kata ini cakap terlalu umum.
“Sebab kita menilai dari sudut pendapatan, jumlah tanggungan yang mereka ada. Jumlah perbelanjaan hutang-hutang yang ada. Sebenarnya ramai yang boleh kita kategorikan sebagai miskin,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan telah mengubah kadar pendapatan bagi kategori miskin tegar atau masih menggunakan kadar yang digunakan pada tahun 2022.
Katanya, walaupun jaraknya hanya dua tahun, namun hakikatnya terlalu banyak perubahan yang berlaku dalam tempoh dua tahun ini yang menjadikan kadar itu tidak lagi sesuai digunakan.
“Kita bagi contoh, dulu kita masih boleh membeli beras iaitu satu makanan ruji, makanan asas yang diperlukan oleh semua keluarga pada harga RM26 sekampit untuk beras tempatan.
“Tetapi pada hari ini sampai ke hari ini kita tidak lagi mampu melihat harga beras yang semurah itu. Malah kita terpaksa berbelanja hampir dua kali ganda untuk membeli barangan asas ini,” ujarnya.
Menurut beliau, itu tidak termasuk barang-barang yang lain seperti barang-barang asas selain berlaku juga kenaikan cukai tanah, perkhidmatan air dan pengenalan beberapa cukai baharu yang meningkatkan beban rakyat.
“Ini sebenarnya memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup. Akhirnya sebenarnya golongan miskin tegar ini yang dulu dikategorikan sebagai pendapatan keluarga, ketua keluarga bawah RM1,196 ini tidak boleh diguna pakai,” ujarnya.
Selain itu, katanya lagi, kerajaan harus juga mengambilkira bilangan isi rumah yang berbeza dan tidak hanya menetapkan satu garis kemiskinan tegar pada satu kadar sahaja.
“Keluarga yang kecil berbanding keluarga ramai, pendapatan beban yang ditanggung juga berbeza,” katanya yang juga merupakan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Melaka. – HARAKAHDAILY 27/2/2024