Sumpah Rabbani oleh Baginda YDPA

Wajib dilaksanakan oleh pemerintah jika benar-benar taat setia kepada Raja dan Negara

- Advertisement -

PADA era Globalisasi dan Informasi di hujung jari kini Perpaduan dan Kesatuan Pemikiran umat Islam secara menyeluruh amat sukar untuk dicapai. Namun ia bukanlah suatu yang mustahil untuk dicapai sekiranya keghairahan berpolitik rakyat Malaysia dapat diredakan dan semangat Patriotisme dimantapkan berteraskan kefahaman dan penghayatan Rukun Negara.

Pemahaman dan Penghayatan Rukun Negara ini telah dititahkan berulang kali oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung pada tahun 2019 dan 2020 serta ditegaskan pula oleh YAB Perdana Menteri pada tahun 2020 sempena ulang tahun ke 50 Perisytiharan Rukun Negara.

Patriotisme yang sering dikaitkan hanya dengan perasaan cintakan Negara sebenarnya lebih komprehensif dan mantap pembenihannya jika disemai berteraskan prinsip-prinsip mulia Rukun Negara.

Hakikatnya Rukun Negara adalah berpaksikan Sumpah Jawatan SPB YDPA di dalam Jadual ke4 kepada Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan. Malah ia adalah teras penghayatan Perlembagaan dan Undang-undang Negara. Justeru, memahami dan menghayati 5 prinsip Rukun Negara mampu menyemai benih Patriotisme yang mantap berteraskan pegangan ASWJ di kalangan umat Islam dan mengeratkan jalinan ukhuwwah dan Perpaduan Ummah di kalangan seluruh rakyat.

Ada baiknya jika 5 prinsip Rukun Negara itu difahami dan dihayati berdasarkan 20 Tonggak AMAL Soleh Penghayatan Rukun Negara.[1]

- Advertisement -

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
Aqidah Negara Sumpah Rabbani;
Memelihara Islam Baiah Hifzuddeen;
ASWJ kita pegangi ;
Laungan Azan, Merdeka Abideen

KESETIAAN KEPADA RAJA & NEGARA
Anugerah Merdeka kurniaan ILAHI;
Mujahadah Panglima Raja bermaruah;
Angkatan pejuang disanjung tinggi;
Langkah bijak elak terjajah

KELUHURAN PERLEMBAGAAN
Amati bersama Asas Kedaulatan ;
Mantap kefahaman teguh keluhuran;
Agama Dijunjung Hakis ancaman ;
Lengkap Kedaulatan Negara dan Watan.

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
Amar Ma’ruf Nahi Munkar;:
Megah tersemat Kanun Dan Syariat;
Adil dan Hikmah tetap Segar ;
Lambaian Sejahtera teras masyarakat.

KESOPANAN & KESUSILAAN
Adat Melayu bersendikan agama;
Masyhur serata teguh peribadi;
Angkuh dan sombong punca angkara;
Luhur budi hormat menghormati.

Perjuangan yang Panjang untuk Memelihara Keimanan – Kepercayaan kepada Tuhan. Sejarah perjuangan dan jihad oleh Raja-raja dan pahlawan-pahlawan Melayu hakikatnya menjadi benteng utama menyelamatkan negeri-negeri Melayu termasuk Sabah dan Sarawak dari cengkaman penjajahan. Pendekatan pakar-pakar sejarah yang menyerlahkan usaha-usaha di kalangan tokoh-tokoh politik Perikatan untuk mencapai kemerdekaan hampir melenyapkan sejarah perjuangan raja-raja dan pahlawan Melayu yang berjihad menentang musuh agama Islam ini. Hakikat sejarah membuktikan agama Islam telah berjaya membentuk Peradaban gemilang Kesultanan Melayu/Islam di rantau Nusantara ini sebelum kedatangan Imperialis Barat yang cuba menghancurkan keutuhan Etika Keimanan yang menjadi teras pembinaan Peradaban Kesultanan Melayu/Islam.[2]

Sejarah juga telah membuktikan betapa Raja-raja bersama pejuang-pejuang Melayu Islam berjihad menentang penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris, Siam dan komunis bagi memelihara keutuhan aqidah Islam umat Melayu Nusantara. Justeru, Raja-raja Melayu telah memuktamadkan menerusi Perkara 3(1) Perlembagaan Negara ini tanpa sepatah pun Istilah sekular dan agama Islam dimartabatkan sebagai Agama Negara tanpa ungkapan “rasmi”. Agama-agama lain pula boleh diamalkan dalam keadaan harmoni. Termaktubnya Islam sebagai Agama Negara dalam Perkara 3 Fasal 1 iaitu Islam sebagai Agama bagi Persekutuan adalah suatu kejayaan memartabatkan kedaulatan Islam di tanahair tercinta ini. Ia adalah rahmat Allah SWT yang tidak ternilai bagi bangsa melayu yang mengharungi pelbagai rintangan dan liku-liku perjuangan sepanjang tempoh 450 tahun sebelum mencapai kebebasan mutlak dan muncul sebagai sebuah Negara Persekutuan Tanah Melayu yang berdaulat dan Raja Berperlembagaan.

Prinsip pertama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah ISLAM sebagai AGAMA NEGARA sekalipun tercetus berbagai cabaran dan cubaan untuk menafsirkan Perlembagaan bagi menyifatkan Negara ini sebagai sebuah negara Sekular dan agama Islam hanya sekadar “agama rasmi”.

Namun begitu, walaupun Islam dimartabatkan sebagai Agama Negara, dalam merangka dasar-dasar dan perundangan Negara, prinsip dan ajaran Islam masih belum dijadikan asas utama. Bahkan tahap pematuhan kepada prinsip dan ajaran Islam sering dicabar terutama pada era Islamufobia dan Islam Bashing ini. Malah pematuhan kepada prinsip-prinsip ajaran Islam tidak dapat dinilai dan dipantau sebagaimana tahap pematuhan kepada prinsip hak asasi manusia (HAM) yang dipantau oleh sebuah suruhanjaya bebas (SUHAKAM). Pematuhan kepada prinsip sekular dan HAM lebih diutamakan berbanding pematuhan kepada prinsip Agama Negara biarpun Ketua Utama Negara Yang DiPertuan Agong bersumpah atas nama suci Allah untuk memelihara Agama Islam pada semua masa.

Pihak-pihak yang menyuarakan supaya negara ditadbir menurut prinsip dan dasar Islam dilabelkan dengan pelbagai gelaran negatif – golongsan fanatik, pemecah perpaduan, extremist, fundamentalis, terrorist, talibanese dan sering disisihkan dari arus perdana. Prinsip HAM akhir-akhir ini telah melampaui batas agama Negara. Hak kebebasan secara melampau telah dipromosikan hingga menjejaskan hak umat Islam untuk mengamal dan mematuhi ajaran Islam. Tuntutan untuk membolehkan umat Islam murtad, hak kepada LGBT, hak persamaan Gender secara melampau, hak kebebasan dari kawalan ajaran agama, hak kesamarataan agama, dan berbagai tuntutan lagi dikemukakan dalam suasana politik Negara yang dirasakan dapat memberi peluang keemasan untuk menggasak Islam (Islam Bashing). Islamufobia atau Islam Bashing ini adalah agenda terkini imperialis Barat yang turut mempengaruhi rakyat Malaysia yang selama ini bernaung di sebuah negara Islam.

Pemikiran Islamufobia atau Islam Bashing inilah yang mencetuskan pemikiran tidak setia dan pemecah perpaduan rakyat di Negara ini. Justeru, sudah tiba masanya umat Islam kembali melakukan muhasabah diri dan menilai semula tahap kecintn dan kesetiaan kepada Negara dan watan yang merupakan tanah tumpah darah kita atau tanahair kita ini. Lima prinsip rukun Negara yang diperkenalkan pada tahun 1970 selepas dari tragedi perkauman pada tahun 1969 wajar difahami dan dihayati dengan mantap menerusi 20 Tonggak A.M.A.L Penghayatan Rukun Negara. Semoga kefahaman dan penghayatan 5 prinsip Rukun Negara ini dapat menyemarakkan semangat Patriotisme ummah demi kedaulatan Negara / watan serta kesejahteraan ummah. Adalah diharapkan semoga 20 Tonggak A.M.A.L. Penghayatan Rukunegara ini mampu untuk membentuk jatidiri UMMAH mencapai natijah berikut –

• TEGUHKAN keyakinan KETUHANAN sebagi asas KENEGARAAN demi Keharmonian Bersama.
• PASAK sikap patriotisme KESETIAAN kepada RAJA & Negara
• SEMARAKKAN Cinta Hifzuddeen & Keluhuran Perlembagaan.

Perjuangan Raja-raja Melayu dan juga pejuang Melayu selama 450 tahun adalah untuk menentang Sekularisme yang cuba dipaksakan ke atas negeri-negeri Melayu menerusi agenda 3G – gold, glory and gospel. Hasil komitmen mantap raja-raja dan pahlawan-pahlawan Melayu itu kita berjaya mengekang pencerobohan imperialisme ke atas aqidah umat Melayu/Islam. Bahkan kita berjaya memartabat aqidah negara menerusi kewajipan melafazkan Sumpah Rabbani oleh Ketua Tertinggi Negara (the Supreme Head of the Federation) Baginda YDPA.

37(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah sebelum menjalankan fungsinya mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan yang dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Keempat di hadapan Majlis Raja-Raja dan dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (atau semasa ketiadaannya dengan kehadiran hakim Mahkamah Persekutuan yang kanan selepasnya yang ada); dan sumpah itu hendaklah diakusaksikan oleh dua orang yang dilantik bagi maksud itu oleh Majlis Raja-Raja.

Teks Sumpah jawatan SPB YDPA pada Jadual keempat Perlembagaan Persekutuan mesti dilafazkan atas nama suci ALLAH. Ia bukan suatu pilihan,malah Perlembagaan sendiri sebagai undang-undang tertinggi negara yang mewajibkannya.

Kami………………………………………… ibni………………………………………………………
Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:
Wallahi: Wabillahi: Watallahi:

Maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyhurkan dan akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.

Perkara 32 dan Perkara 37(1) Perlembagaan menjulang lafaz wallahi wabillahi watallahi atau sumpah rabbani yang meletakkan prinsip Tauhid sebagai Sovereignty of Allah di negara ini. Tanpa lafaz sumpah rabbani ini pemerintahan negara ini menjadi tidak sah![3]

Ikatan negara kepada Allah adalah menerusi the supreme law of federation[4] dan dilafazkan oleh the supreme head of the federation. Justeru, arahan Menteri Dalam Negeri 1986 untuk menjaga kesucian nama Allah bukan sekadar arahan biasa. Ia adalah arahan executive yang selaras dengan akujanji kepada Allah oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi pihak negara untuk memelihara agama Islam. Maka, arahan itu juga wajib dihormati oleh semua rakyat termasuk Jill Ireland.

Cara penggunaan nama suci Allah secara trinity adalah melanggar prinsip memelihara agama Islam. Oleh itu, amatlah wajar Arahan 1986 dibuat dan dikuatkuasakan. Jika Hakim memutuskan pematuhan kepada sumpah rabbani ini sebagai melanggar hak kebebasan beragama, ia boleh mengakibatkan Hakim itu sendiri juga tidak taat setia kepada YDPA atau “Disaffection against YDPA”.

Maka sudah tentu, Para hakim, pengamal undang perlu meneliti secara mendalam kesan sumpah rabbani yang wajib dilafazkan oleh Baginda YDPA. Memelihara kesucian Agama Islam sebagai agama negara juga mesti dilaksanakan berteraskan sumpah rabbani dan Bai’ah hifzuddeen di bawah Perkara 37 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, mana-mana pihak termasuk pengamal ajaran sesat di kalangan orang Islam tidak boleh sama sekali menyalah gunakan nama suci Allah secara syirik. Bahkan, nama suci Allah hanya boleh digunakan secara ajaran Islam iaitu mentauhidkan Allah. Unsur penyembahan secara syirik adalah penyalahgunaan dan tidak boleh dibenarkan oleh Kerajaan YDPA.

Terdapat banyak aspek kekhilafan oleh Hakim Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland yang perlu dirayu dan dihujahkan berdasarkan Sumpah Rabbani dan Bai’ah Hifzuddeen. Cubaan untuk membezakan arahan 1986 dengan penyalahgunaan nama suci Allah adalah sekadar suatu permainan silap mata yang akibatnya adalah tidak setia kepada Sumpah Rabbani.

Apa yang pasti penganut bukan Islam bukanlah hendak menggunakan nama Allah yang maha suci ini atas keimanan atau kepercayaan mereka kepada Allah SWT, sebaliknya mereka sedang menyalahgunakan nama Allah dengan cara syirik.[5] Sedangkan, YDPA bersumpah dengan nama suci Allah untuk memelihara agama Islam, Agama Tauhid. Perbuatan mereka ini sudah amat jelas menyanggahi komitmen sumpah Ketua Tertinggi Allah untuk memelihara kesucian nama Allah. Justeru perbuatan sedemikian adalah suatu perbuatan jenayah tidak setia kepada baginda YDPA dan PDRM wajib menyiasat mereka di bawah Akta Hasutan. Malah menurut Perlembagaan Persekutuan Perkara 149 beranggapan pebuatan tidak setia kepada YDPA adalah perbuatan subversive.

Pengaruh Gerakan Liberal World Order Pendekatan Islamufobic Dan Anti-Monarki
Lebih 1,000 Gerakan Sivil dengan bantuan teknikal, kewangan, sokongan dari gerakan-gerakan yang mendokong dasar Orde Dunia Liberal (Liberal World Order) tajaan zionis Kristian sedang bergerak di dalam Negara telah berjaya mencetuskan segala bentuk ketegangan, kebencian dan penentangan kepada Kesultanan Melayu/Islam.[6]

Pendekatan-pendekatan yang digunakan mereka, seringkali mencabar kedudukan Islam sebagai Agama Negara (islamofobik dan Islam Bashing), anti-monarki hingga mencetuskan kebencian dan tekad menghapuskan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah negara yang sah, hak keistimewaan bumiputera, undang-undang Syariah dan sebagainya yang menjadi ‘core issue’ yang teramat dekat dengan sokongan akar umbi pemerintah.

Overzealous Politic
Pengaruh Liberal World Order ini telah berjaya mencetuskan fenomena Overzealous Politic yang telah berlarutan sejak beberapa dekad yang lalu dan telah berjaya meruntuhkan kerajaan Melayu/Islam yang telah sekian lama berakar umbi membentuk Peradaban Negara sejak dari era kegemilangan Tun Perak di Melaka.[7] Namun hasrat dan tekad mereka untuk menghakis Kesultanan Melayu/Islam di negara kita ini masih utuh dan berterusan dengan sokongan pengkhianat dalaman sebagaimana yang berlaku pada era kejatuhan Kesultanan Uthmaniyyah 100 tahun lalu.[8] Malangnya kesediaan umat Melayu/Islam untuk menghadapi cabaran-cabaran ini hampir tiada, malah kesedaran mengenai ancaman-ancaman itu juga pada tahap yang amat minima.

Badan Kehakiman kembali kepada Sekular, Tidak Peduli Sumpah Rabbani.
Kedaulatan Perundangan Syariah negara juga turut kembali terjejas akibat dari keengganan badan kehakiman negara akur dan taat setia kepada sumpah rabbani baginda YDPA ini. YAA Tun Tengku Maimun yang mengetuai 9 orang hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi A.P. Mutho lawan Pengarah Jabatan Agama islam Perak telah membatalkan pengislaman kanak-kanak oleh bapa mereka yang telah memeluk Islam tetapi ditentang oleh ibu mereka yang enggan memeluk Islam.

Keputusan sebegini dibuat berdasarkan tafsiran perkataan parent dalam perkara 12(2) yang ditafsirkan berdasarkan pendekatan hak kesamarataan hak ibu dan bapa. Menurut tafsiran baru oleh Mahkamah Persekutuan penentuan agama kanak-kanak mesti ditentukan oleh kedua-dua ibu dan bapa dan bukan nya oleh salah seorang ibu atau bapa sebagaimana yang ditafsirkan oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini dalam kes Subashini.

Mahkamah dalam kes Indira Gandhi ini dengan tegas memakai doktrin basic structure yang memberikan kuasa lebih luas kepada Mahkamah untuk membatalkan undang-undang yang dirasakan tidak adil atau melanggar prinsip asas Perlembagaan iaitu hak asasi manusia. Pendekatan ini jelas menyanggahi Sumpah Rabbani di mana baginda YDPA wajib memelihara agama Islam. Mahkamah Persekutuan yang diterajui oleh Tun Tengku Maimun telah menerima prinsip tersebut secara meluas terutama dalam kes-kes yang melibatkan konflik bidangkuasa Syariah-Sivil.

Antara ciri-ciri nya yang amat terserlah tidak mempedulikan Sumpah rabbani adalah –
(i) Pendirian bahawa Perlembagaan kita mempunyai “basic structure” (struktur asas) yang ditentukan oleh Mahkamah atas dasar Kuasa Kehakiman Mahkamah Persekutuan dan tidak boleh dipinda oleh Parlimen .
(ii) Atas nama semak dan imbang, Mahkamah berkuasa menentukan sepenuhnya apakah skop struktur asas (basic structure) tersebut.
(iii) Mana-mana undang-undang ataupun pindaan Perlembagaan digubal oleh Parlimen, yang bertentangan dengan struktur asas (basic structure) ditentukan Mahkamah adalah tidak berperlembagaan, dan menjadi tidak sah.

Ia telah dikritik hebat kerana menerimapakai doktrin struktur asas perlembagaan acuan Mahkamah Agung India, termasuk oleh mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

Pendekatan Strategik Mendepani Ancaman Basic Structure Doktrine yang dibawa dari India (sebuah negara sekular) oleh Mahkamah Persekutuan ini adalah dengan cara menolak pendekatan BSD dengan bersandarkan kepada prinsip perlembagaan yang lebih asas iaitu dengan bergantung kepada Sumpah Rabbani dan Bai’ah Hifzuddeen oleh Baginda YDPA dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ikrar dan sumpah dengan nama suci Allah adalah sumber kedaulatan Negara – Sovereignty of Allah. Sebarang usaha untuk menukar prinsip Sovereignty of Allah ini sepatutnya disiasat sebagai kesalahan Tidak Setia kepada Baginda YDPA di bawah Akta Hasutan atau jika ia lebih serius hingga menggugat kedaulatan raja-raja sebagai Treason atau Penderhakaan di bawah seksyen 121B Bab 6 Kanun Keseksaan.

Solusi Dan Remedi: Mantapkan Patriotisme Kenegaraan
Umat Melayu/Islam tiada pilihan lain selain dari memperteguhkan kecintaan terhadap kenegaraan dan peradaban Kesultanan Melayu/Islam yang telah berjaya membentuk peradaban Melayu di Asia Tenggara ini menerusi Roh Patriotisme. Patriotisme adalah kecintaan tulus ikhlas kepada Negara berteraskan prinsip-prinsip Rukunegara. Cabaran dalaman Kerajaan perlu diatasi dengan menggunakan pendekatan membina jaringan wihdatul fikr dan hubungan baik sesama jentera pentadbiran Negara.[9] Di samping tidak diabaikan tindakan dan tekanan ke atas elemen yang berpotensi menggugat dan mencabar sebarang bentuk dasar dan prinsip yang membentuk kekuatan dan penguasaan Kerajaan Melayu Islam. Cabaran “Deep State” dari elemen dalaman Kerajaan telah mengakibatkan kebanyakan polisi dan pendekatan baik yang cuba digerakkan Kerajaan, disabotaj di peringkat perlaksanaan. Pengkelasan, pengukuhan serta pembersihan elemen-elemen ini di dalam Kerajaan perlu digerakkan dengan strategi tepat dan betul.

Pemahaman Dan Penghayatan 5 Prinsip Rukunegara
Umat Melayu Islam perlu kembali menghayati prinsip Rukun Negara yang berteraskan kepada Ketuhanan, Kesetiaan, Keluhuran, Kedaulatan dan Kesusilaan. Inilah prinsip kenegaraan yang wajib difahami dan dihayati oleh bukan sahaja umat Melayu/Islam bahkan seluruh warganegara Malaysia. Agenda patriotisme amal soleh yang dicetuskan ini bermatlamatkan Pembentukan Jiwa Patriotik bagi mengubati emosi overzealous politic yang berpanjangan. Asas Utama pembinaan Patriotisme ini adalah Pemahaman dan Penghayatan Rukunegara berteraskan Sumpah Rabbani & Bai’ah Hifzuddeen menurut perkara 37(1) Perlembagaan.

Tunaikan Sumpah Dan Janji – Sumpah Rabbani Dan Bai’ah Hifzuddeen
Berteraskan sumpah Rabbani di hadapan Allah Rabbul Jaleel, maka amatlah tidak wajar jika ada mana-mana pemimpin, ahli politik atau mana-mana pihak yang menyemai kebencian terhadap kesultanan Melayu Islam serta menghina agama Islam atau mengambil pendekatan Islam bashing dalam gerakan atau pemikiran mereka sama ada politik atau non-politik. Dalam sumpah Rabbani ini juga terkandung Bai’ah Hifzuddeen iaitu ikrar dan janji kepada Allah SWT untuk Negara ini memelihara agama Islam pada setiap masa.[10] Tanpa sumpah Rabbani dan Bai’ah Hifzuddeen ini pemerintahan Negara tidak sah dan kedaulatan Seri Paduka Baginda YDPA serta Kerajaan Baginda boleh dipertikaikan. Sekalipun yang melafazkan sumpah Rabbani dan Bai’ah Hifzuddeen ini adalah Ketua Tertinggi Negara, namun kewajipan untuk melaksanakannya adalah terletak di atas ketiga-tiga cabang pemerintahan negara iaitu Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman serta rakyat keseluruhannya.

Sumpah Rabbani bukan sahaja tidak dipedulikan sudah begitu lama, malah ia dilanggari atau diterjah sejak merdeka! Antara terjahan terhadap sumpah Rabbani paling nyata yang diketahui adalah pemikiran yang menyifatkan Negara ini sebagai negara demokrasi Sekular dan kedudukan Islam hanyalah sekadar agama rasmi sahaja.

[1] _https://www.samudera.my/20-tonggak-amal-soleh-mantapkan-kefahaman-dan-penghayatan-rukunegara-sebagai-teras-patriotisme-dato-profesor-naser-disa/
[2] DATO’ PROF DR ABDULLAH GHAZALI; Sumbangan Arab-Islam dan Masyarakat Melayu .
[3] Perkara 32 dan Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan.
[4] Per. 4(1) Perlembagaan Persekutuan
[5] Penghakiman Kes Jill Ireland v Menteri Dalam Negeri dan Archbishop Kuala Lumpur v Menteri Dalam Negeri
[6] ASWANIZAM Alias, mantan Ketua Strategic Research IKSIM; Ijtimak Pondok 2019.
[7] Ibid
[8] Video Youtube pengakuan Wan Ji Wan Hussein, sebelum dilantik sebagai Pegawai Penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang.
[9] Al Quranul Kareem ayat 103 .
[10] Jadual ke4 Perlembagaan Persekutuan.

Dato’ Prof Haji Mahamad Naser bin Disa
Profesor Industri FUHA, UNISZA,Terengganu.– HARAKAHDAILY 25/2/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -