MIN 2024 mantapkan kerjasama dakwah di Asia Tenggara

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bergambar dengan perwakilan yang menyertai Persidangan Majlis Ilmuan Nusantara (MIN) Kali Pertama 2024 di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, Kangar.
- Advertisement -

KANGAR: Perlis mengalu-alukan penganjuran majlis ilmu bagi meningkatkan kualiti rakyat di negeri itu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penganjuran majlis seumpama itu akan menimbulkan impak positif kepada umat Islam.

“Perlis amat mengalu-alukan segala bentuk penganjuran program yang meningkatkan mutu ilmu dan intelek umat.

- Advertisement -

“Kita bersedia membuka ruang seluas-luasnya untuk para sarjana dan ilmuan berdiskusi dalam menghasilkan resolusi yang akan membawa kebaikan dan keberkatan untuk umat Islam ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Persidangan Majlis Ilmuan Nusantara (MIN) Kali Pertama, 2024,di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.

Program bertemakan Manhaj Ahlussunnah Asas Penyatuan Ummah itu bermula selama dua hari sehingga 18 Februari lalu.

Tuanku juga percaya penganjuran persidangan seperti itu akan menghasilkan natijah positif dalam mewujudkan kerjasama serantau dan mampu menghasilkan ketetapan dalam beberapa perkara untuk dijadikan panduan bersama.

“Majlis Ilmuan Nusantara ini mampu membentuk kerjasama masa hadapan dan memberikan natijah yang positif bagi kerja dakwah di Asia Tenggara,” titah baginda lagi.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Mufti Perlis, Sahibus Samahah Prof. Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO),Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

MIN 2024 yang dianjurkan Jabatan Mufti Negeri Perlis bersama MAIPs dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bertujuan memantapkan kerjasama dakwah di Asia Tenggara.

Sementara Perlis berperanan sebagai platform menjayakan gerakan dakwah di rantau ini. Persidangan kali ini turut mendapat kerjasama kerajaan negeri serta disertai oleh beberapa ilmuan luar negara termasuk Indonesia, Thailand, Kemboja dan Vietnam. – HARAKAHDAILY  21/2/2024

- Advertisement -