Hutan warna warni musim angin timur di Perlis

Pemandangan pokok hutan di bukit-bukit negeri Perlis ketika musim angin timur.
- Advertisement -

KANGAR: Keunikan dan keindahan hutan di Perlis ketika berada dalam musim angin timur menjadi tarikan utama buat penduduk tempatan dan pelancong ke negeri itu.

Pengerusi Persatuan Penjelajah Alam Negeri Perlis, Syamil Abd Rahman berkata, pemandangan menakjubkan pokok hutan di bukit batu kapur yang berwarna warni dapat dilihat setiap tahun khususnya ketika musim angin timur.

- Advertisement -

“Pokok hutan yang terdiri daripada spesies bukan damar mengubah warnanya menjadi perang, merah, dan kuning akibat kekurangan air dan ketidakseimbangan suhu dengan kelembapan.

“Proses penghasilan makanan (nutrien) dalam pokok terganggu, menyebabkan klorofil merosakkan warna daun,”katanya di sini, ketika dihubungi HarakahDaily.

Sehubungan itu, fenomena tersebut menyebabkan jurugambar serta penggemar lanskap fotografi terpanggil untuk merakam keunikan untuk diabadikan kenangan indah.

Jurugambar Persatuan Penjelajah Alam Negeri Perlis, Firdaus Mohamad berkata, tradisi yang dinantikan setiap tahun, menandakan ketibaan musim angin timur.

“Ia memaparkan kecantikan alam semulajadi dengan sempurna dan bagi penduduk tempatan, pemandangan ini bukan sahaja menjadi keunikan semula jadi negeri Perlis malah mempunyai kebanggaan dan keistimewaan tersendiri,” katanya.– HARAKAHDAILY  21/2/2024

- Advertisement -