Ringgit jatuh cecah RM4.80 tambah beban kos rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penurunan nilai Ringgit yang kini mencecah RM4.80 untuk tukaran kepada 1 Dolar Amerika (AS$) pasti menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup yang ditanggung rakyat, kerana majoriti bahan makanan negara masih bergantung kepada import.

Profesional Istiqamah dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan tinjauan yang dicatatkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih 2018-2022, menunjukkan bahawa bagi tempoh tahun 2022 sahaja, negara telah mengimport makanan mencecah nilai RM75.6 bilion.

“Majoriti yang diimport ialah bahan makanan berasaskan pertanian seperti sayuran-sayuran seperti bawang dan daging. Jika nilai Ringgit turun, sudah tentu kos bahan-bahan ini menjadi lebih mahal,” dedah kenyataan tersebut.

- Advertisement -

Menurut kenyataan itu lagi, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi nilai mata wang sesebuah negara, antaranya berkait rapat dengan nilai Dolar AS yang menjadi mata wang dunia.

“Sebarang perubahan di Amerika Syarikat boleh membawa perubahan kepada nilai mata wang negara lain. Namun, itu bukan satu-satunya punca. Masih banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada kejatuhan Ringgit.

“Antaranya termasuklah kejatuhan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sesebuah negara, pertambahan hutang negara serta dasar ekonomi negara yang tidak meyakinkan pelabur asing untuk masuk dalam negara,” jelas kenyataan itu.

Tambahnya, melihatkan trend penurunan yang semakin ketara, rakyat tidak boleh menolak faktor dalaman negara mungkin memainkan peranan.

“Jika dahulu sewaktu menjadi pembangkang, politikus kerajaan kini cukup gagah meletakkan segala beban tanggungjawab kepada kerajaan.

“Namun kini, segalanya salah orang lain kecuali salah kerajaan. Inilah yang menjadi punca kemarahan rakyat,” kongsi kenyataan itu lagi.

Kenyataan Profesional Istiqamah turut menyatakan bahawa Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam laporan media tempatan sebelum ini berkata, Dolar AS, faktor politik, dan perang di negara luar sebagai faktor nilai Ringgit yang semakin melemah, menunjukkan seolah-olah kerajaan tiada langsung kuasa dalam menguruskan isu ini.

Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula menurut Profesional Istiqamah, pernah menyalahkan kerajaan terdahulu sebagai punca kejatuhan Ringgit.

“Kini PMX pula berdalih meminta Gabenor Bank Negara untuk memberi komentar berkenaan isu kejatuhan Ringgit.

“Jika benar kejatuhan Ringgit adalah sesuatu yang mereka gagal kawal, maka apa inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat menyerap tekanan kos sara hidup yang makin tinggi?” soal kenyataan itu.

Kenyataan Profesional Istiqamah berkata bahawa apa yang disajikan kerajaan hanyalah pertambahan pelbagai cukai baharu, soal perluasan implementasi cukai dalam sektor pelbagai, potongan subsidi serta inisiatif-inisiatif separuh masak.

“Seperti pelancaran Beras Putih Malaysia Madani, inisiatif IPR yang tidak meluas serta pelan PADU yang dihimpit isu keselamatan data. Musim persekolahan baru bakal dibuka.

“Bulan puasa bakal menjelma serta lebaran akan tiba. Adakah rakyat mampu menghadapi situasi-situasi ini dalam keadaan pimpinan Kerajaan Madani terus melepaskan tangan dari bertanggungjawab membantu rakyat?” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY  21/2/2024

- Advertisement -