PAS tadbir Melaka PRU16 jika dakwah digerakkan

- Advertisement -

JASIN: PAS akan mentadbir pemerintahan Kerajaan Negeri Melaka pada PRU16 sekiranya seluruh ahli dan pimpinan negeri itu menggerakkan agenda dakwah sepertimana dilakukan enam individu pertama dari Yathrib yang memeluk Islam.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Israk Mikraj di Balai Islam Kampung Seri Minyak di sini, malam tadi.

- Advertisement -

Menurut beliau, enam Sahabat RA generasi awal itu beriman setelah didekati Baginda Rasulullah SAW semasa mereka sedang mengerjakan haji di mana ketika itu masih dilaksanakan secara jahiliyah di Makkah.

Menurut Tuan Guru, peristiwa berimannya enam Sahabat pertama dari Yathrib itu merupakan satu ketakjuban kerana tidak pernah lagi berlaku sebelum itu orang-orang masuk Islam serentak seramai itu.

“Sejak kali pertama dalam sejarah dakwah sekumpulan manusia beriman secara en-block iaitu terus beramai-ramai. Tak pernah berlaku sebelum ni masuk Islam dengan jumlah yang besar serentak. Itulah kali pertama,” jelasnya.

Terang beliau dalam mengemukakan sirah itu, peristiwa tersebut telah menggembirakan Rasulullah SAW dan menjadi motivasi kepada Baginda setelah dilanda kesedihan dan kegetiran perjuangan ketika itu.

“Dengan sebab enam orang yang menerima Islam ini maka dakwah tersebar dengan meluas berbanding pada 10 tahun yang sebelumnya.

“Sebabnya bila balik ke Madinah (Yathrib) Sahabat-sahabat ini bukan berbaiah sahaja, mereka berdakwah habis-habisan sehingga tidak ada rumah di Madinah yang tidak sampai seruan dakwah Islam,” ujarnya.

Beliau kemudian membandingkan enam Sahabat itu yang telah berjaya berdakwah ke seluruh Madinah dengan jumlah ahli PAS Melaka di mana kini telah mencecah lebih 23,000 orang.

“Enam orang sahaja. Kita di cawangan ini berapa orang? Ahli PAS di Melaka berapa orang? Ahli PAS di Melaka lebih kurang 23,000 orang. Kalau semua 23,000 orang ahli PAS buat kerja macam enam orang Sahabat ini, Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16, PAS akan tadbir Kerajaan Negeri Melaka,” ujarnya.

Tambahnya lagi, setiap kali beliau dijemput ke perasmian mesyuarat agung cawangan, beliau akan sentiasa mengingatkan agar cawangan-cawangan diperkasakan dengan penuh kesungguhan

“Kerana cawangan ini adalah benteng perjuangan yang paling awal dan paling akhir. Bentengnya ialah cawangan.

“Maka apabila ada cawangan di seluruh lorong-lorong dalam negara ini, sudah tentulah pada ketika itu Allah SWT akan memberikan kuasa dan peluang untuk kita melaksanakan ibadah yang am sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW,” ujarnya. – HARAKAHDAILY  20/2/2024

- Advertisement -