PAS Pulau Pinang anjur Hari Keluarga

- Advertisement -

BUTTERWORTH: Hari Keluarga PAS bukan sahaja mengukuhkan ikatan persaudaraan serta kekeluargaan dalam kalangan ahli, malah hubungan menjadi lebih kukuh dan erat.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, bertemakan ‘Keluarga Haraki Yang Sejahtera’, beliau berhasrat matlamat tersebut dapat direalisasikan melalui program seumpama itu.

- Advertisement -

“Sebenarnya kita sudah lama merancang program sebegini tetapi terpaksa ditangguhkan pada awalnya disebabkan pandemik Covid-19, namun hari ini kami berjaya dilaksanakan dan mendapat sambutan yang meriah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily pada program Hari Keluarga PAS Negeri Pulau Pinang di Pantai Robina, Teluk Air Tawar, dekat sini, 17 Februari lalu.

Jelasnya lagi, program yang dikendalikan oleh Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga PAS negeri itu sebagai menyahut seruan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sebelum ini.

Malah kata beliau, PAS Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang menganjurkan Hari Keluarga PAS berkenaan.

Justeru beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua juga mengharapkan program itu dapat meningkatkan kualiti kekeluargaan, sekali gus menjadi teladan dan tercapai usaha mendaulatkan Islam dalam masyarakat.

“Kami berharap agar program yang berlangsung dengan pelbagai aktiviti menarik akan lebih berjaya di masa akan datang dan menyaksikan penyertaan yang lebih ramai,” katanya lagi.

Turut hadir, Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof dan lain-lain pemimpin PAS. – HARAKAHDAILY  19/2/2024

- Advertisement -