Beri bantuan pendidikan pelajar tanpa mengira kaum

- Advertisement -

TANGGA BATU: PAS Kawasan Tangga Batu akan sentiasa berusaha membantu segala yang terdaya demi melihat anak-anak penduduk di sini tanpa mengira kaum dan agama, selesa bersekolah.

Setiausahanya, Roslan Abdul Ghani berkata, anak-anak perlu diberikan kelengkapan yang cukup untuk menghadapi persekolahan sebagai satu motivasi kepada mereka mendapatkan pendidikan.

- Advertisement -

“Kita nak meraikan anak-anak pelajar yang nak meneruskan pengajian. Ini adalah salah satu usaha kami untuk meringankan beban tuan-tuan.

“Kerana itu kita telah berusaha untuk menjalankan program ini bagi meringankan beban ibu bapa. Adalah penting untuk kita menceriakan kanak-kanak ke sekolah.

“Kita tak mahu anak-anak pelajar tengok jiran ada semua, tetapi mereka tiada. Kena penuhi keperluannya agar mereka gembira ke sekolah. Jika tidak ia boleh mengganggu psikologi anak-anak untuk belajar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan bantuan ‘Kembali Ke Sekolah’ anjuran bersama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Tangga Batu dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tangga Batu yang berlangsung di sini, hari ini.

Tambah Roslan, program tersebut melibatkan penerima dari pelbagai kaum dan agama antaranya India, Cina, Kadazan dan sebagainya sebagai tanda solidariti dan kebersamaan.

“Terima kasih pada ibu bapa yang hadir. Kita boleh lihat daripada berbilang kaum. Kami ada sasaran dan berhasrat menjalinkan satu ikatan silaturrahim.

“Kita tidak kira agama atau kaum, yang penting untuk bersama-sama untuk membantu anak-anak untuk belajar dan seterusnya membina negara yang harmoni,” ujarnya.

Salah seorang penjaga kepada penerima bantuan Ruth Mary, 62, berkata, beliau mendapat maklumat mengenai bantuan diberi itu melalui guru di sekolah cucunya, Judith Neethisha, 9.

“Cikgu dia beritahu di sekolah dan saya pun mohon. Program macam ini bagus. Dapat bantu rakyat yang susah. Saya harap dapat teruskan lagi di masa akan datang.

“Saya kenal YB Bakri. Dia seorang yang baik dan suka tolong orang susah. Pernah dapat bantuan dari dia.Terima kasih YB dan PAS Tangga Batu,” ujarnya.

Beliau turut meluahkan kesukaran yang sedang dihadapi oleh orang ramai dengan harga barang semakin mencanak naik pada masa sekarang.

“Sekarang ni harga barang pun mahal. Nak beli barang pun susah dan rasa beban. Kalau dapat bantuan macam ini kuranglah sikit kesusahan kami,” katanya. – HARAKAHDAILY  19/2/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -