Impak besar bukti kes Nik Elin terhadap perundangan syariah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kes Nik Elin memberi kesan yang sangat besar dan tidak boleh dipandang ringan bukan sahaja kepada Perundangan Syariah, tetapi juga pihak berkuasa agama di peringkat negeri.

Peguam Syarie, Ahmad Jailani Abdul Ghani berkata demikian susulan kenyataan media yang dibuat oleh Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada 7 Ogos 2023 yang menyeru pihak berkuasa agama Islam negeri, badan-badan berkanun dan NGO-NGO berkaitan agama Islam agar mereka terlibat sama dalam kes Nik Elin sama ada sebagai pencelah, ‘watching brief’ (peguam pemerhati) atau ‘amicus curiae’ (sahabat mahkamah).

- Advertisement -

“Saya pernah berforum sepentas bersama YB Menteri sewaktu beliau masih lagi Ketua Hakim Syarie. Program anjuran WADAH atau ABIM bertempat di USM.

“Ia turut dihadiri oleh guru saya Dr Muhammad Nur Manuty. Latar belakang Perundangan Syariah YB Menteri yang kukuh sudah tentu aset paling berharga buat beliau menilai mengenai implikasi Kes Nik Elin kepada kedudukan Undang-undang Syariah di Malaysia,”ujar beliau di
media sosialnya, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menaruh keyakinan kepada Menteri dan Timbalan Menteri Agama yang juga mempunyai latar belakang ilmu perundangan Sivil dan Syariah untuk turut sama mengatur strategi bagi menghadapi cabaran pihak tertentu yang berterusan melakukan cabaran terhadap Perundangan Syariah di negara ini.

Terdahulu, media melaporkan kes Nik Elin di Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 pada 9 Februari lalu memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.– HARAKAHDAILY  19/2/2024

- Advertisement -