Kedah belum bercadang lakukan pembenihan awan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tiada keperluan untuk Kedah melakukan pembenihan awan setakat ini, memandangkan bekalan air di Sungai Muda masih mencukupi untuk keperluan domestik, pertanian dan industri.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tahap tiga empangan utama di negeri itu juga masih berada dalam keadaan baik.

“Kedah belum bercadang melakukan pembenihan awan dalam masa terdekat, setakat ini kita masih ada bekalan air mencukupi dari Sungai Muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Amanat Menteri Besar Kepada Pentadbiran Tanah Negeri Kedah, di sini, semalam.

Menurut Sanusi, pihaknya juga belum menerima apa-apa laporan daripada agensi berkenaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkenaan isu air empangan seperti negeri lain.

Sebelum ini dilaporkan tujuh daerah di Kedah merekodkan suhu panas tahap berjaga-jaga akibat fenomena El-Nino.

Bagaimanapun ujar Sanusi, langkah berjaga-jaga akan diambil kerana cuaca panas yang melanda Kedah dan negeri-negeri lain ini berpotensi menyebabkan masalah bekalan air.

“Malah, pengepaman air ke Loji Rawatan Air (LRA) juga akan terjejas sekiranya paras air di Sungai Muda menurun dengan ketara,”katanya.– HARAKAHDAILY  19/2/2024

- Advertisement -