Sistem pertaruhan oligarki

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Sudah pasti perjuangan mana-mana pemerintah dilihat such murni apabila ia melaungkan untuk menentang monopoli dan tajaan tauke, sedangkan tauke tetap mendapat kepentingan cuma berbeza warna bulunya.”

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Perak, Muhammad Mujahid Ir Mohammad Fadzil berkata demikian sambil menambah bahawa kebimbangan beliau adalah terhadap pemerintah yang cuba meruntuhkan blok tauke yang lama, dan membina blok tauke baharu yang selari dengannya.

- Advertisement -

“Ini juga boleh difahami melalui istilah oligarki, iaitu sebuah pemerintahan yang dikuasai oleh tauke. Sistem ini boleh digambarkan seperti sebuah pertaruhan.

“Ada tauke yang menaja Parti A. Ada tauke yang menaja Parti B. Tajaan tersebut lebih kepada menduga parti mana yang boleh menang.

“Katakan Parti A yang menang, maka para tauke yang menaja itu akan memperolehi kekayaan, tender, projek dan tanah daripada Parti A setelah menjadi kerajaan. Begitulah sebaliknya,” jelas beliau dalam satu kenyataan melalui media sosialnya pada hari ini.

Tambah beliau, apa yang kelihatan indah apabila ahli politik Parti A menzahirkan tindakannya mendapatkan tajaan tauke, dan hakikatnya yang ditaja itu adalah tauke Parti B, yang tak selari dengannya.

“Kadang-kadang mereka suarakan untuk menentang monopoli. Hakikatnya monopoli yang dimaksudkan ialah monopoli tauke-tauke Parti B. Setelah itu, Parti A akan berikan monopoli kepada tauke partinya.

“Laungan dan perjuangan Parti A menentang monopoli kelihatan suci murni, hakikatnya berkepentingan,” katanya.– HARAKAHDAILY  19/2/2024

- Advertisement -