Kerajaan gagal bela nasib rakyat

Mohd Zarimi Abu Zih
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat masih gagal membela nasib rakyat terutama dalam memenuhi keperluan asas rakyat seperti bekalan dan kawalan harga beras, mahupun gula.

Ketua Pemuda PAS Negeri Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih al-Hafiz berkata, beliau kesal dan kecewa dengan tadbir urus Kerajaan Madani dalam menangani krisis bekalan beras dan penetapan harga beras dalam negara.

- Advertisement -

“Kegagalan komunikasi antara kementerian, agensi yang bertanggungjawab serta pemegang taruh menyerlahkan kegagalan Kerajaan Madani, ibarat indah khabar daripada rupa.

“Kegagalan memastikan bekalan beras tempatan bagi memenuhi permintaan rakyat adalah siri kebobrokan kerajaan ini yang hanya sekadar seperti peribahasa bahasa Melayu menanam tebu di tepi bibir.

“Sudah-sudahlah bersandiwara dengan rakyat dengan janji-janji palsu yang akhirnya membuka pekung di dada terutama krisis dalaman Kerajaan Madani,” hujah beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Zarimi mendesak agar Kerajaan Madani khususnya PMX dan Menteri yang bertanggungjawab, agar segera menyelesaikan isu ini dengan kadar segera demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

Tambah beliau, pihak kerajaan perlu mengambil perhatian terhadap pandangan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Andansura Rabu yang mendesak Kerajaan Madani mengeluarkan satu Kertas Putih mengenai isu bekalan beras ini.

“Ia adalah agar rakyat mendapat penjelasan yang menyeluruh kerana ia merupakan keperluan asas rakyat negara ini. Cukup-cukuplah dengan wayang dan formula yang ‘ke laut’, hanya indah khabar daripada rupa umpama ‘gajah terbang ke bulan bintang’.

“Namun, rakyat terus menerus hidup dalam sengsara dengan kos sara hidup yang semakin menghimpit kehidupan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY  19/2/2024

- Advertisement -