PADANG SERAI: Seperti pemimpin yang lain, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali juga tidak ketinggalan menyantuni masyarakat Tionghua menjelang Tahun Baru Cina pada tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas tersebut sehubungan itu telah menyampaikan sumbangan kepada mereka yang dari golongan kurang kemampuan pada satu majlis ringkas, di sini.
“Semangat menyambut Tahun Baru Cina selalunya membawa bersamanya kegembiraan dan harapan baru untuk semua.
“Ini adalah masa yang istimewa untuk berkumpul bersama keluarga dan sahabat, serta merayakan kepelbagaian budaya dan tradisi dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Hamper serta saguhati berupa wang tunai merupakan sumbangan kerajaan negeri untuk diagihkan kepada golongan sasaran dari masyarakat Tionghua melalui ADUN dari seluruh negeri Kedah.
Dalam pada itu, Ashah yang juga Exco kerajaan negeri mengharapkan tahun baharu kali ini buat masyarakat Tionghua membawa kebahagiaan, kejayaan, dan kemakmuran kepada semua.
“Selamat menyambut Tahun Baru Cina dan sentiasalah berwaspada dan berhati-hati di jalan raya serta jagalah keselamatan diri walau di mana sahaja berada.
“Ambillah peluang sempena perayaan ini untuk mengeratkan hubungan sesama keluarga dan sahabat handai,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/2/2024