127 hari Gaza dimusnahkan: Sempena Minggu Al-Quds

- Advertisement -

HARI ini sudah 127 hari Gaza dilanyak, dihenjak, dibom, dibunuh, disekat dan di… macam-macam.

- Advertisement -

Isu Gaza asalnya adalah isu sejagat, termasuk kemanusiaan. Ia menjadi sempit kepada umat Islam, lebih sempit kepada OIC, kemudian orang Arab dan Liga Arab, lepas itu orang Palestin, dan akhirnya menjadi isu orang Gaza sahaja.

Jordan yang berada di sebelahnya pun hanya bergembira dan bersorak apabila pasukan bolas epaknya julung-julung kali mara ke pusingan akhir malam ini menentang Qatar di Piala Asia. Rakyatnya membunyikan hon kereta di jalan-jalan di Jordan meraikan kemaraan pasukan bola sepaknya ke tahap itu.

Saya tidak mengatakan bola sepak itu haram. Saya tahu rakyat Jordan bersama dengan penduduk Palestin dan Gaza. Saya tahu majoriti penduduk Jordan juga berasal dan ada darah Palestin. Namun, jauh bezanya antara kejayaan bola sepak dan rakyat Gaza yang sedang disepak-sepak.

Kita di Malaysia pernah menghadapi PKP ketika pandemik Covid-19. Tak dapat keluar rumah. Tak dapat berjalan jauh. Tak dapat ke masjid. Namun, PM ketika itu menyebut: Yang penting ada makanan di atas meja.

Alhamdulillah, walaupun banyak sekatan dan halangan, kita masih boleh makan dan minum dengan selesa.

Menghadapi 126 hari, bukan untuk menghadapi PKP, tidak juga SPM, tetapi bom. Bom pula bukan sebarang bom. Ada bom fosforus. Ada bom yang dikatakan tidak pernah digunakan dalam perang lain. Mereka menghadapi pelbagai sekatan sudah lama, ditambah 126 hari ini pula.

Tidak mudah menggambarkan suasana Gaza ketika ini. Yang dibaca tidak sama dengan yang merasai. Yang dilihat tidak sama dengan yang melalui. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Isu Palestin wajib menjadi isu yang diberi perhatian oleh kita semua. Kesedaran tentang kepentingan bumi Palestin mesti ditanam dalam diri kita, keluarga, anak-anak dan semua.

Saya sendiri mendekati isu Palestin sekitar tahun 1980-an, ketika berumur akhir belasan tahun. Pimpinan PAS banyak berceramah, membuat pelbagai aktiviti sehingga isu Palestin menjadi makin dekat di hati.

Akhir tahun 1980-an hingga awal 1990-an, tak banyak isu Palestin yang sempat diikuti kerana fokus ‘mengaji kitab’ di pondok.

Ketika berada di Jordan mulai 1992-1999, tentunya isu Palestin sangat hampir. Di Universiti Yarmouk, Irbid, tempat saya belajar, ada sahaja aktiviti berkaitan Palestin yang dibuat pameran sejarah Palestin, Minggu Palestin, demonstrasi pelajar menyokong Palestin ketika ada isu-isu tertentu berlaku dan lain-lain.

Dalam satu pameran buku mengenai Palestin, saya membeli sebuah buku bertajuk: ليس لليهود حق في فلسطين

‘Yahudi tiada hak di Palestin’.

Penulisnya menyebut pelbagai dalil yang menunjukkan Palestin adalah milik umat Islam, bukannya untuk Yahudi yang telah dicabut keistimewaan itu oleh Allah dari mereka dan diberi kepada umat Islam.

Ketika belajar hadis akhir zaman dengan almarhum Dr Walid al-Aani, pensyarah hadis dari Iraq, banyak juga hadis yang menyebut tentang bumi Palestin dan rakyat Palestin. Yang biasa kita dengar, antara kandungannya: “Sentiasa ada golongan umat Nabi yang menegakkan kebenaran. Mereka berada di Baitul Maqdis dan sekitar Baitul Maqdis” dan “Dajjal akan dibunuh di Bait Lud, satu kampung di Palestin”.

“Orang Islam akan membunuh Yahudi sehingga mereka berlindung di sebalik batu dan pokok, lalu batu dan pokok berkata: Wahai Muslim! Di belakang ku ada Yahudi, mari bunuh mereka.”

Mengenai hadis ini, saya teringat pendapat guru saya, almarhum Dr Nuh Ali Salman al-Qudha: “Ini menunjukkan orang Palestin ketika itu sebenarnya adalah wali Allah, hingga kayu dan batu bercakap kepada mereka”. Wallahu a’lam.

Seorang sarjana Islam berasal dari Palestin, menjadi pensyarah bidang Al-Quran di Jordan, yang buta matanya, Dr Fadl Hasan Abas pernah menyebut dalam satu ceramahnya mengenai peristiwa Isra’ Mikraj: “Tentera rejim Zionis sebenarnya penakut dan pengecut. Mereka adalah anak-anak muda yang lebih sukakan hiburan, rehat, tetapi oleh kerana undang-undang regim Zionis yang mewajibkan mereka menyertai tentera, maka mereka terpaksa menyertainya juga”.

Bumi Quds, Palestin adalah ‘al-Ardus Sakhin’ iaitu ‘Bumi yang sentiasa panas’. Isunya tak pernah padam. Pergolakannya tak pernah diam. Krisisnya tak pernah terpendam.

Sebagai umat Islam, terutama kepada anak-anak muda, saya ingatkan anda agar menjadikan isu Palestin, Quds ini sentiasa segar dalam diri kerana ia adalah hak umat Islam, berkaitan harga diri umat Islam.

Kita baharu menyambut Israk Mikraj. Allah sendiri menyebutkan kaitan antara dua masjid iaitu Masjidilharam dan Masjid al-Aqsa yang diberkati sekelilingnya. Ia tidak disebut secara kebetulan tetapi ada makna tersirat yang mahu diberitahu kepada kita. Justeru, ambil tahulah mengenainya. Jangan buat-buat tak tahu dan jangan tidak mahu tahu. – HARAKAHDAILY 10/2/2024

Penulis adalah Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Kemaman.

- Advertisement -