RUU Kawalan Produk Merokok tanpa GEG diluluskan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU)  Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 meskipun peruntukan generasi penamat rokok (GEG) digugurkan daripada RUU tersebut.

Kelulusan itu dicapai di peringkat dasar selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen melalui undian suara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas bacaan kali kedua rang undang-undang berkenaan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

- Advertisement -

Sebelum itu, seramai 27 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung dua hari dengan majoritinya mendesak supaya peruntukan berkaitan GEG yang digugurkan, dimasukkan semula ke dalam RUU berkenaan.

Dr. Zaliha berkata, walaupun GEG digugurkan daripada RUU itu, pihaknya terbuka untuk mengembalikannya pada masa akan datang.

“GEG mendapat beberapa pandangan dan ada sedikit pertikaian, tetapi kita akan tengok selepas penguatkuasaan RUU dan kita akan terus memantau,” ujarnya dalam sesi penggulungan dalam sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

“Apa kesan RUU ini terhadap penurunan mungkin prevalens merokok dan sebagainya, insya-Allah jika kita ada keperluan ketika itu, kita boleh bawa kembali tentang isu GEG ini.

“Pihak kementerian akan terus memberi komitmen untuk penguatkuasaan akta ini sebaik sahaja ia diluluskan,” katanya.  HARAKAHDAILY 30/11/2023

- Advertisement -