Ahli politik Arab-Israel terkemuka ditahan

Tiga dari empat ahli politik Arab-Israel (dari kiri, Sami Abu Shehadeh, Mtanes Shihadeh, dan Mohammad Barakeh) telah ditahan polis Israel pada 9 Nov 2023.
- Advertisement -

TEL AVIV: Polis Israel telah menahan ahli politik Arab-Israel terkemuka, Mohammad Barakeh, Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Arab Tinggi (HAMC), sebuah kumpulan yang terdiri daripada pemimpin politik dan masyarakat sivil dari masyarakat Arab-Israel, berhubung perancangan untuk menganjurkan protes di Nazareth terhadap serangan di Gaza.

Menurut kenyataan polis Israel, Barakeh, 68, yang juga bekas anggota Knesset, telah ditahan sebelum disoal siasat pada Khamis (9 Nov) kerana disyaki terbabit dengan apa yang disifatkan sebagai cuba ‘menganjurkan demonstrasi yang boleh membawa kepada hasutan dan membahayakan keamanan awam di Israel, yang melanggar arahan polis’.

- Advertisement -

Knesset merupakan parlimen Israel yang terletak di Baitulmaqdis; dan sebagai badan negara tertinggi, ia memiliki kawalan penuh terhadap keseluruhan tampuk pemerintahan di Israel.

Turut ditahan ialah dua bekas ahli parlimen parti Balad Haneen Zoabi, Sami Abu Shehadeh dan Mtanes Shehadeh serta ketua pengarah parti itu, Yousef Tatur, lapor The Guardian.

Terdahulu, HAMC berkata bahawa ia telah merancang untuk mengadakan protes pada pukul 11 pagi di pusat Nazareth yang dihadiri kira-kira 50 orang dan telah memaklumkan kepada polis pada hari sebelumnya.

Sebelum itu, pada Rabu (8 Nov), mahkamah tinggi Israel telah menolak cabaran terhadap larangan polis terhadap protes di dua bandar yang sebahagian besar penduduknya adalah warganegara Israel yang berasal dari Palestin.

“Kami sepatutnya bertemu di Nazareth pada hari ini (Khamis, 9 Nov),” kata ahli Knesset, Ahmed Tibi kepada The Guardian.

“Semua negara berkata hentikan perang. Kini warga Arab-Israel Israel dilarang menuntut menghentikan perang di Gaza.

“Kita bercakap tentang ahli parlimen, bekas ahli parlimen dan kepimpinan parti. Penangkapan hari ini adalah gejala apa yang sedang berlaku,” tambahnya. HARAKAHDAILY 10/11/2023

- Advertisement -