8 barangan turun harga di Terengganu sempena Deepavali

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu (KPDN) melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Deepavali 2023.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, SHMMP dilancarkan bagi meraikan semua kaum sempena perayaan Depavali 12 November ini

Katanya lapan jenis barangan ditetapkan harga di bawah kawalan selama tempoh pelaksanaannya tujuh hari iaitu tiga hari sebelum perayaan semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.

“Lapan barang iaitu bawang merah import, bawang merah kecil, cili merah, daging kambing, kacang dal, kelapa biji, kelapa parut dan tomato,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran SHMMP Deepavali 2023, di Pasaraya Besar Mydin, di sini, semalam.

Menurutnya juga SHMMP dilaksanakan bagi membantu pengguna yang berdepan dengan kenaikan barangan keperluan harian sekarang.

Kata beliau ia menggambarkan kecaknaan kerajaan negeri dan KPDN bagi membantu orang ramai di musim perayaan.

“Alhamdulillah hari ini di Mydin, harga yang ditetapkan contoh tomato diturun kepada RM4 berbanding RM6 sebelum ini,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Pengarah KPDN Shahruddin Mohd Kia berkata sebanyak 34 notis tunjuk sebab dikeluarkan kepada peniaga ayam yang tidak menurunkan harga selepas harga diapungkan sejak awal bulan ini.

Kata beliau, KPDN menerima maklumat harga tersebut melalui tinjauan pegawai penguatkuasa dan pemantau harga biar pun tidak menerima aduan rasmi daripada pengguna.

“Selepas kita ambil tindakan berkenaan ada penurunan harga, namun rata-rata peniaga mematuhi notis dikeluarkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2023

- Advertisement -