Pastikan gaji minimum RM1,500 dilaksanakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi jaminan bahawa pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dilaksanakan oleh syarikat yang menyediakan perkhidmatan kesihatan, keselamatan, bekalan makanan dan kebersihan membabitkan agensi kerajaan dan institusi pendidikan.

Dato’ Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata, ini berikutan cabaran yang dihadapi oleh pekerja di sektor berkenaan akibat kenaikan harga barangan harian dan kelembapan ekonomi negara ketika ini.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan sudah menetapkan pelaksanaan gaji minimum, namun masih ada syarikat gagal mematuhi menyebabkan ada pihak membawa syarikat terbabit ke mahkamah untuk mendapatkan pembelaan.

“Ini bukan salah mereka, tetapi kerajaan yang belum bayar kepada syarikat yang membekalkan dan menyediakan perkhidmatan keselamatan, kesihatan, bekalan makanan dan kebersihan,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan 2024 Kementerian Sumber Manusia di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata masalah itu adalah dalam pengetahuan kerajaan dan pihaknya juga mengadakan pertemuan empat mata untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kepada kedua-dua pihak.

Malah, katanya kementerian mengadakan rundingan bersama Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan bersama Kementerian Kewangan bagi mencari kata putus berhubung masalah itu.

“Saya ambil maklum mengenai perkara yang dibangkitkan dan memahami secara mendalam berkaitan isu yang dibangkitkan, pihak terlibat telah datang berjumpa saya dan mengadakan mesyuarat beberapa kali.

Kerajaan sebelum ini menegaskan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 walaupun masih ada syarikat hanya membayar RM1,200 dengan alasan kontrak bersama kerajaan belum tamat.

Syarikat terbabit menyatakan hanya akan melunaskan tunggak kenaikan gaji sebanyak RM300 sebulan kepada pekerja dengan skim baharu gaji minimum itu selepas kontrak syarikat bersama kerajaan tamat. – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -