Kerjasama Malaysia-Iran dalam bidang keterjaminan makanan

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membangkitkan mengenai kerjasama yang akan dilakukan antara Malaysia dan Iran dalam bidang keterjaminan makanan (food security).

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menjelaskan perkara itu khususnya aktiviti-aktiviti penyelidikan dan industri halal pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Presiden PAS mengemukakan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor pula meminta menteri yang sama menyatakan bilangan keseluruhan Taman Kekal Pengeluaran Malaysia (TKPM) dan status keaktifan semasa setiap Kawasan.

Beliau juga bertanya berapa jumlah pengeluaran sebenar berbanding unjuran pengeluaran setiap TKPM.

Berikut ialah senarai soalan ahli-ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL hari ini.

Waktu Pertanyaan Menteri

Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [Kubang Pasu] minta Perdana Menteri menyatakan:

(a) apakah strategi dan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan bagi memitigasi nilai eksport yang menurun sebanyak 8.4% bagi tempoh Januari – September 2023 berbanding dengan tempoh yang sama bagi tahun 2022. Trend menurun ini didapati bermula pada Jun 2023 dan dijangka akan berterusan hingga akhir tahun 2023; dan

(b) jumlah pelaburan dan jenis/sektor industri yang akan dilaksanakan oleh pelabur-pelabur (secara terperinci) dari Amerika Syarikat, United Arab Emirates (UAE) dan Arab Saudi, iaitu hasil lawatan YAB. Perdana Menteri ke negara-negara berkenaan baru-baru ini.                               

Pertanyaan Bagi Jawab Lisan

Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [Setiu] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan secara terperinci insentif Kerajaan bagi memastikan wanita kembali bekerja terutama wanita muda yang berpendidikan sekali gus merapatkan jurang jantina dalam pasaran buruh.      

Dato’ Dr. Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Kerja Raya menyatakan:

(a) statistik kemalangan maut yang disebabkan oleh kerja pembaikan jalan raya di seluruh negara; dan

(b) sejauh mana pemantauan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan oleh kontraktor semasa proses pembaikan jalan raya dilakukan.

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan apa langkah Kerajaan untuk menyelesaikan masalah pencemaran akibat ladang babi di Kampung Selamat serta kesan sekitaran seperti percikan kepada pengguna jalan raya akibat penggunaan lori tidak bertutup untuk mengangkut babi, pencemaran bau kepada penduduk dan kesan kepada nelayan sungai.

Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan sejauh mana Program Peningkatan Pendapatan (PPP) telah berjaya membantu golongan miskin tegar di negara ini.

Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah pekerja asing yang berada dalam negara dan apakah langkah diambil Kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing dan mengoptimumkan tenaga kerja tempatan berkemahiran.

Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan keberhasilan program Asasi, TVET, dan Politeknik dan adakah ia mencapai objektif asal penubuhannya.

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan insentif dan agensi yang membantu Tourist Information Centre (TIC) dalam merancakkan sektor pelancongan negara yang mendatangkan pendapatan besar kepada negara terutama kepada negeri Kelantan dan berapa peruntukan serta kakitangan TIC di seluruh negara.

Tuan Fathul Huzir bin Ayob [Gerik] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan melihat semula tenaga boleh baharu terutamanya tenaga solar di kawasan pedalaman bagi masyarakat Orang Asli kerana kebanyakannya tidak diselenggara dan tidak boleh digunakan lagi.

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Menteri Kerja Raya menyatakan secara terperinci mengenai projek di bawah RM50 juta:

(a) bagi tahun 2018-2023, berapa yang telah dirancang berbanding projek yang telah siap di Terengganu (mengikut tahun dan nilai projek); dan

(b) punca dan factor yang menyebabkan kelewatan memulakan projek pembangunan di Terengganu.

Dr. Siti Mastura binti Muhammad [Kepala Batas] minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan:

(a) adakah muara Sungai Muda khususnya pesisir Pantai Kg. Kuala Muda akan dizonkan sebagai kawasan pelancongan dan berapa jumlah peruntukan; dan

(b) senaraikan masjid di Pulau Pinang yang diwartakan sebagai status Masjid Pelancongan.

Tuan Fathul Huzir bin Ayob [Gerik] minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan inisiatif Kementerian dalam memajukan sektor pelancongan di sempadan Pengkalan Hulu, Malaysia-Betong, Thailand.

Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan pendekatan untuk menggalakkan anak muda menyertai pendidikan TVET dan apakah tindakan diambil bagi memastikan bidang TVET sentiasa signifikan dengan keperluan alam pekerjaan seterusnya menjamin kebolehpasaran golongan terbabit.

Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [Larut] minta Menteri Ekonomi menyatakan mengapa kedaulatan ekonomi negara diketepikan dan apakah justifikasi apabila syarat pemilikan ekuiti tempatan tidak lagi dikuatkuasakan dalam pendekatan liberal Ekonomi MADANI sehingga syarikat seperti TESLA dan Starlink diberikan pengecualian 100% pemilikan asing oleh Kerajaan PH-BN.

Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan:

(a) adakah pihak Kementerian akan meneruskan program GIATMARA ataupun adakah GIATMARA akan menyerap masuk silibus TVET; dan

(b) apakah pihak Kementerian merancang untuk mewujudkan satu cawangan di Kuala Krau.

Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan bilakah tarikh kuatkuasa Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pindaan 2022 serta perancangannya.

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan:

(a) berapa bilangan keseluruhan Taman Kekal Pengeluaran Malaysia (TKPM) dan status keaktifan semasa setiap kawasan; dan

(b) berapa jumlah pengeluaran sebenar berbanding unjuran pengeluaran setiap TKPM.

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Kerja Raya menyatakan adakah pihak Kerajaan merancang untuk menaik taraf Jambatan Semeling (K167) memandangkan keadaaan lalu lintas di Jalan Lencongan Barat (FT257) semakin sesak. Sekiranya ya, bila akan dilaksanakan. Sekiranya tidak, apa alasannya.

Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [Gua Musang] minta Menteri Kerja Raya menyatakan mekanisme Kementerian bagi memastikan kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pembinaan jalan akan mematuhi garis panduan keselamatan di tapak pembinaan dan di persekitaran kawasan pembinaan.

Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan perancangan untuk memulihkan aset pelancongan seperti pusat perkelahan Air Terjun Sekayu dan Belukar Bukit di Hulu Terengganu yang terbengkalai dan terbiar.

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah bentuk kerjasama yang akan dilakukan antara Malaysia dan Iran dalam bidang keterjaminan makanan (food security) khususnya aktiviti-aktiviti penyelidikan dan industri halal.

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan kursus-kursus jangka pendek ditawarkan kepada pelajar dengan kerja sama industri yang terlibat, apakah mereka akan ditawarkan gaji dan berapakah gaji minima. – HARAKAHDAILY 31/10/2023

- Advertisement -