Demarche bukan ugutan kepada negara dan PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mempersoalkan istilah demarche atau notis tata tindak yang digunakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menunjukkan ancaman terhadap negara ini kerana tegas menyokong perjuangan Palestin.

Menurutnya, demarche yang diterima kerana enggan menganggap Hamas sebagai entiti pengganas bukan satu notis berunsur ugutan atau ancaman terhadap negara ini.

- Advertisement -

Katanya, demarche adalah istilah dalam bahasa Perancis yang merujuk kepada pendirian diplomatik rasmi kerajaan yang diminta oleh mana-mana negara asing terhadap sesuatu isu berbangkit.

Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) berkata, jika Perdana Menteri mengatakan menerima ugutan, perkara itu adalah sesuatu yang serius kerana mungkin menjadi ancaman terhadap keselamatan negara, termasuk dirinya sendiri.

“Jadi sebenarnya ia bukanlah ugutan, tetapi satu pertanyaan pendirian rasmi Amerika Syarikat (AS) ke atas kita. Saya yakin ini selalu dibuat, malah kalau ikutkan dalam sejarah diplomasi Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dulu lebih lantang, berani dan tegas dalam isu ini (Palestin) tetapi tidak pernah sekali pun Dr Mahathir mengatakan beliau diugut.

“Istilah diugut ini adalah serius, ancaman terhadap negara, keselamatan negara bahkan terhadap Perdana Menteri.

“Sebab itu kami tanya beliau tadi (dalam Dewan Rakyat), beliau jawab demarche, anggap ugutan. Bagi saya ia tidak tepat. Ia ada impak serius terhadap hubungan luar kita dengan mana-mana negara yang dilihat mengancam, mengugut kita atas pendirian kita terhadap Palestin,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Machang ketika Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, meminta Perdana Menteri memberi penjelasan mengenai demarche yang beliau anggap bukan satu bentuk notis berbaur ugutan.

Bagaimanapun, Anwar tidak menjawab soalan berkenaan.

Wan Ahmad Fayhsal berkata: “Jadi, kami perlukan jawapan daripada Wisma Putra kerana kita ingin memberi respon balas dari segi protes kepada negara-negara tersebut.

“Dalam hal ini, kita bersetuju akan melindungi dan mempertahankan negara dan mempertahankan Perdana Menteri.

“Sebab itu kita tanya, kalau wajar boikot APEC (Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik), sila buat demi mempertahankan pendirian dan solidariti kita kepada Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2023

- Advertisement -