Ternakan babi lebih 40 tahun, Kampung Selamat derita

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap masalah pencemaran akibat ladang penternakan babi di Kampung Selamat, Pulau Pinang yang berlarutan sejak lebih 40 tahun lalu tanpa sebarang tindakan tuntas.

Dato’ Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata, selain masalah bau yang dihadapi penduduk dan nelayan sungai, masalah itu membabitkan pengguna jalan raya apabila ternakan itu dibawa dengan lori tidak bertutup.

- Advertisement -

Katanya, penduduk sudah banyak kali menyuarakan isu tersebut, malah tindakan pihak berkuasa seperti kompaun dikenakan kepada pengusaha ladang ternakan terbabit seolah-olah tidak memberi kesan menyebabkan masalah itu berterusan.

“Saya minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah kerajaan untuk menyelesaikan masalah pencemaran ini,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dato’ Seri Mohamad Sabu dalam jawapannya menjelaskan kementerian memandang serius pencemaran yang berpunca dari 64 ladang ternakan yang sehingga kini belum dapat diselesaikan.

Setakat 30 September lalu, katanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang mengeluarkan 20 kompaun bernilai RM152,500 kepada pengusaha ladang yang gagal mematuhi Peraturan Pelesenan Penternakan Babi 2020.

Selain itu, katanya sehingga 27 Oktober lalu, sebanyak 58 ladang ternakan berlesen dibenarkan beroperasi di kampung itu, dua ladang dalam proses penutupan dan empat diarahkan ditutup kerana tidak mematuhi Enakmen Penternakan Babi 2016.

“Pada 6 November ini, kita akan mengadakan sesi libat urus bersama persatuan penternak di kampung itu, saya jemput YB hadir dan dialog itu bersama pasukan veterinar.

“Nak pindahkan (ladang penternakan babi) sebab tanah di Pulau Pinang memang terhad, soal pencemaran berpunca dari lori itu di bawah Kementerian Pengangkutan, kita juga akan jemput kementerian lain bagi menyelesaikan isu ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2023

- Advertisement -