Isu larangan takbir: Penganjur minta maaf selepas dikecam

Seorang peserta perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam, 22 Okt 2023 dirakam melahirkan perasaan marah dan sebak selepas mengakui berasa dihina apabila diminta balik ke rumah kalau hendak melaungkan Allahu Akbar dan bukan di perhimpunan itu. (FOTO: Tangkapan skrin Instagram @wasiakhirzaman)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas dikecam ramai termasuk oleh golongan selebriti berhubung dakwaan larangan takbir menjadi tular dalam penganjuran perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka, di sini, semalam, Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr Musa Mohd Nordin akhirnya pada hari ini tampil memohon maaf.

Beliau yang membuat kenyataan melalui ciapan di platform X mendakwa peraturan yang diambil oleh pihak penganjur adalah selaras dengan arahan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar perhimpunan itu berada dalam sempadan kemanusiaan.

- Advertisement -

“Namun demikian, saya difahamkan terdapat beberapa pihak yang kurang berpuas hati dengan cara kelangsungan perhimpunan kami. Oleh yang demikian, bagi seluruh pihak VPM, kami memohon maaf terhadap segala kekurangan kami,” katanya dalam ciapan X itu.

Himpunan  anjuran bersama VPM dan dan Humanitarian Care Malaysia (MyCare) itu dikatakan telah meletakkan banyak syarat sehingga ada peserta perhimpunan dari kalangan penganut Islam  mendakwa laungan takbir, Allahu Akbar turut dilarang.

Di sebalik ribuan peserta yang menyertai himpunan tersebut, timbul beberapa isu yang mengecewakan ramai pihak selepas sesetengah peserta yang membawa plakad memaparkan wajah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan slogan ‘Netanyahu Penjenayah Perang’ telah disamakan dengan rejim Zionis.

Respons Michael Ang, Beto Kusyairi

Isu berkenaan turut mendapat respons oleh pengarah terkenal, Michael Ang menerusi hantaran di Instagram Story (IGs)  miliknya, yang mengecam tindakan pihak terlibat malah menegaskan bahawa majoriti rakyat Malaysia yang bukan Islam tidak mempunyai masalah dengan laungan takbir.

Beto Kusyairi membuktikan dirinya antara segelintir artis Malaysia yang menunjukkan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap penderitaan rakyat Palestin angkara kejahatan dan kezaliman Zionis Israel. (Tangkapan layar skrin Instragram @beto_kusyairi)

“Laungan takbir is offensive sebab kita negara yang berbilang kaum? Siapa yang bahalol cakap tu. Apo!!  Rakyat Malaysia yang bukan Islam okay aje la… dengan laungan takbir, maybe ada segelintir yang amat micro aje bising.

“Dan memegang plakad mengecam US (Amerika Syarikat) dan Isr4el dipanggil Zionis? Si Bodoh mana yang kata begini?” tegas Michael di IGs berkenaan.

Selain itu, pelakon tersohor, Beto Kusyairy menerusi ciapan di laman X  turut mempersoalkan pihak penganjur yang melarang peserta himpunan daripada membawa sepanduk yang mengutuk rejim Zionis.

Stop the genocide in G4za’ oleh Isr4el. ‘Freedom for P4lestine’ dari Isr4el. Tapi sepanduk yang mengutuk Isr4el dan kekejaman pemimpinnya tak dibenarkan malah disamakan pula dengan zionis.

“Jadi nak gesa siapa untuk stop the genocide & bagi freedom serta hak P4lestin ya?” tegas  Beto.

Paparan IGS Michael Ang yang memberi komen tentang kontroversi perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka pada 22 Okt 2023. (Tangkapan skrin Instagram @michaelang38)

Netizen labelkan ‘pro-Amerika/Israel’, ‘pro-liberal’

Sementara, beberapa netizen yang memberikan respons atau komen dalam Instagram @Wasiatakhirzaman yang memaparkan video mengenai perhimpunan dengan tajuk, ‘Solidariti Untuk Siapa? Perhimpunan yang dilihat luar biasa dari yang biasa’ dengan mengaitkan insiden itu dengan label ‘pro-Amerika Syarikat/Israel’ dan ‘pro-liberal’.

“Cukup memalukan berlaku di himpunan negara Islam dan larangan takbir. Adakah penganjur pro-liberal US/Israel,” tegas netizen melalui instagramnya, @huzifah_halim.

Sementara seorang lagi netizen melalui intagramnya, @wayoflife_deen memberikan respons dengan berkata: “Who the hell is that against saying Allahu akbar? Israel agent ke? Sampai nak larang segala..Netanyahu tu bagi duit ke?

“Sedangkan dunia luar semua kecam orang ni..eh di Malaysia pula tak nak kecam..”

Antara komen netizen sebagai reaksi Instagram @wasihatakhirzaman yang berjudul, Solidariti Untuk Siapa?… (Tangkapan skrin Instagram @wasiatakhirzaman)

Dr Musa jawab isu Allahu Akbar

Menjawab mengenai dakwaan larangan Allahu Akbar dalam perhimpunan tersebut, Musa dalam ciapan X sebaliknya menegaskan tidak timbul sebarang isu mengenai laungan takbir Allahu Akbar  kerana ujarnya, Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin dan Nurul Izzah Anwar turut melaungkan takbir ketika berucap.

“Isu takbir bukan isu, Nurul Izzah dan Badlishah bertakbir ketika berucap. Ramai yang bertakbir yang kami tidak hentikan.

“MC (juru acara) hanya mengingatkan bahawa ini adalah perhimpunan berbilang agama dan kita patut membuat nyanyian yang semua orang boleh sertai,” katanya.

Semalam, salah seorang peserta perhimpunan yang dikenali sebagai Syed Muhammad Shafiq Syed Jaafar dilaporkan tampil menjelaskan bahawa dia ialah  individu yang bertanggungjawab membawa plakad Netanyahu berkenaan.

Plakad Netanyahu yang dibawa Syed Muhammad Shafiq pada perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka, di sini, semalam, tetapi kemudiannya didakwa diarahkan supaya diturunkan oleh penganjur atas alasan ‘menjaga adab’.

“Plakad yang papar Netanyahu ini, saya buat malam tadi untuk bawa ke perhimpunan. Kami tiba dalam sekitar jam 10 pagi. Dalam 10 minit pertama pegang plakad tu tak ada masalah, sehinggalah seorang speaker terus menunjukkan jarinya ke arah kami supaya menurunkan plakad itu.

“Apa salahnya saya? Adakah mesej yang saya bawa dengan menyatakan Netanyahu sebagai penjenayah perang adalah salah?

“Kenapa mahu menganggap laungan tersebut bersifat ‘offensive’? Kita bukannya minta mereka melaungkannya. Kita bukannya mencetuskan keganasan. Perhimpunan ini sepatutnya menyatu-padukan dan bukan untuk memecah-belahkan,” katanya.

Musa Mohd Nordin

Sementara dalam video yang disiarkan Instagram @Wasiatakhirzaman memaparkan seorang wanita Melayu-Islam yang mendakwa penganjur melabelkan peserta himpunan tersebut bersikap sama seperti Zionis apabila mereka membawa sepanduk dan plakad yang melabelkan Benjamin Netanyahu sebagai ‘penjenayah perang’.

Paling mengecewakan wanita itu mendakwa pihak penganjur juga melarang peserta perhimpunan daripada melaungkan takbir Allahu Akbar.

“Anda mahu puaskan hati siapa? Anda dan kumpulan elit anda di atas pentas cuba melarang peserta tidak boleh buat ini dan itu.

“Anda beri amaran peserta jangan laungkan Allahu Akbar kerana mengatakan himpunan itu himpunan kemanusiaan,” katanya dengan nada marah sejurus dilihat sebak. – HARAKAHDAILY 23/10/2023

- Advertisement -