Tingkatkan peluang rakyat dapat pekerjaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia diminta menyatakan langkah terbaik bagi meningkatkan penempatan pekerjaan bagi rakyat di negara ini.

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, sekarang merupakan peringkat negara telah bebas sepenuhnya dari pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

“Saya meminta agar Kementerian Sumber Manusia menyatakan langkah proaktif yang dilakukan oleh kementerian dalam meningkatkan penempatan pekerjaan bagi rakyat.

“Khasnya sepanjang tahun ini bermula Januari sehingga September,” kata ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, kementerian melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya menempatkan 163,392 pencari kerja.

Beliau berkata, agensi itu mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan penempatan pekerjaan rakyat dengan melaksanakan empat program.

Katanya, ini membabitkan portal MYFutureJobs, Jelajah Madani, Karnival Kerjaya di seluruh negara dan kerjasama strategik antara kementerian.

“Sehingga 30 September lalu 152,385 kekosongan jawatan yang masih aktif diletakkan dalam portal ini selain karnival dan jelajah yang turut diadakan di seluruh negara.

“Kita menjalin kerjasama startegik bersama agensi dan kementerian lain dengan penubuhan pusat satelit MYFutureJobs bagi membantu golongan ini yang berada di kawasan pedalaman.

“Selain itu, pusat ini berfungsi untuk memudahkan masyarakat luar bandar mendapat perkhidmatan seperti penggunaan komputer dan capaian internet yang stabil,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2023

- Advertisement -