Hantar nota bantahan pihak sokong Israel

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menghantar nota bantahan kepada kedutaan negara asing serta syarikat multinasional yang menyuarakan sokongan secara jelas kepada Israel.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, tidak menamakan pihak terbabit kerana perkara itu sudah diketahui oleh rakyat negara ini sejak sekian lama.

- Advertisement -

Katanya, rakyat Palestin bangun menentang penubuhan negara haram Israel yang berlarutan sejak 1948 dengan pelbagai tragedi dan kekejaman berdarah.

“Ada yang meletakkan bendera Israel dalam ruang media sosial mereka, ini satu sokongan kepada Israel dan kerajaan Malaysia perlu menghantar nota bantahan kepada mereka.

“Seolah-olah mereka telah menyatakan pendirian yang sangat kontradik dengan kerajaan Malaysia,” kata ketika membahaskan usul berhubung konflik Palestin di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika sebahagian negara melaksanakan normaslisasi dengan negara haram Israel, Ketua Pemuda PAS Malaysia itu berkata, kerajaan perlu menyatakan pendirian tehadap usaha itu.

Beliau meminta kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak terikut-ikut dengan negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

“Itu tidaklah sampai kepada peringkat kita memutuskan hubungan dengan negara di Timur Tengah dan negara lain, tetapi hubungan persahabatan tidak sampai kita meredai normalisasi.

“Alhamdulillah, Malaysia antara negara yang terkehadapan menyatakan pendirian tidak setuju dengan Israel, negara yang rakyat kita tidak boleh lawati,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2023

- Advertisement -