KUALA LUMPUR: Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) menggesa kerajaan tidak menyokong perjanjian damai antara Palestin dan Israel.
Menurutnya, perjanjian damai itu yang menyebabkan Israel bersikap melampau kerana mendakwa disokong oleh dunia.
“Jadi perjanjian-perjanjian damai pada masa akan datang, kita harap kerajaan Malaysia tidak akan bersetuju supaya mereka tidak menjadi lebih ganas.
“Kalau kita bersetuju, makna Malaysia juga bersetuju dengan kewujudan keganasan, kezaliman yang dilakukan oleh Israel terhadap penduduk Palestin yang sudah 100 tahun dibunuh sampai sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) pada sesi perbahasan usul Palestin di Dewan Rakyat, hari ini.
Menerusi laporan akhbar Metro UK kelmarin, beberapa pihak mendesak agar gencatan senjata dilakukan selepas pejuang Hamas melancarkan serangan ke atas Israel.
“Saya harap kerajaan Malaysia ambil perhatian tidak menyokong segala perjanjian damai yang akan dibuat kerana selepas ini akan ada lagi (kekejaman Israel),” tegasnya. – HARAKAHDAILY 9/10/2023