Nasib pasangan daif raih perhatian Mardhiyyah

Mardhiyyah (kiri) menziarahi pasangan daif di Kuala Kedah, Kedah pada hari ini, 18 Sept 2023.
- Advertisement -

KUALA KEDAH: Kisah pasangan daif yang tular di media sosial telah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari.

Beliau bersama Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Kebun Pinang, Che Hawa Madon serta wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pegawai Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) turun meninjau untuk melihat keadaan sebenar pasangan suami isteri terbabit. 

- Advertisement -

Mardhiyyah berkata, pasangan berkenaan bukanlah anak tempatan kampung terbabit sebaliknya, suami berasal dari Changloon sementara isterinya dari Perak.

“Sebelum ini, mereka tinggal di rumah anak perempuan (telah berkahwin) di sebelah pondok yang didiaminya sekarang,” jelasnya, di sini, hari ini. 

Menantu pasangan tersebut terpaksa mendirikan pondok untuk didiami  mertuanya memandangkan ibunya yang pernah diserang penyakit angin ahmar dan tidak tahan dengan panas. 

Menurut beliau lagi, pondok yang didiami pasangan suami isteri itu sangat daif dan tidak mempunyai keperluan asas seperti bilik air dan lain-lain. 

Dalam tinjauan itu, LZNK akan berusaha mencari rumah sewa dengan kelengkapan untuk pasangan suami isteri terbabit selain bantuan katil dan lain-lain berkaitan. 

“Saya mengharapkan mereka ini mendapat rumah baharu dengan kadar segera kerana keadaan kesihatan mereka terutama si isteri agar uzur, mata pun tak berapa nampak dan pernah diserang angin ahmar sebanyak dua kali,” ujarnya.

Terdahulu, kisah pasangan ini tular di media sosial dan mengharapkan agar bantuan diberikan segera untuk menampung keperluan hidup mereka yang agak daif. 

Sementara itu, setiausaha MKK Kampung Kebun Pinang, Maznah Hamid berkata, pihaknya bersama Muslimat PAS Cawangan telah beberapa kali ziarah serta menyampaikan sumbangan keperluan kepada pasangan berkenaan. 

Namun begitu, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa untuk membaiki pondok kediaman terbabit memandangkan ia dibina di tanah milik orang lain. – HARAKAHDAILY 18/9/2023

- Advertisement -